HUJAN
yang turun mencurah-curah semenjak petang tadi masih belum ada tanda- tanda
mahu berhenti. Rintik hujan yang turun mengenai bumbung rumah bagaikan sebuah
irama lagu yang begitu mengasyikkan. Sara masih setia berdiri di jendela sambil
merenung titik- titik hujan yang turun. Sesekali angin yang bertiup kencang
menerobos jendela dan menjamah tubuhnya, dingin. Dia memeluk tubuhnya dengan
erat cuba melawan kedinginan yang dibawa oleh angin. Sesekali tangannya naik
menyelak rambut hadapannya yang jatuh menutupi mata akibat disapa angin.
“Bosannya..”
Sara mengeluh kecil. Keluhan yang hanya didengari
oleh dirinya sendiri kerana hanya dia yang berada di banglo besar itu, tika
ini. Walaupun berkali-kali Sara mengeluh, keadaan pasti akan tetap sama. Kebosanan
tetap juga mencengkam jiwa.
Tiba-tiba saja matanya terasa pedih. Rasa macam nak
menangis, tapi air matanya seakan sudah kering. ‘Ya Allah, kenapa harus begini?
Tidak layakkah aku untuk bahagia?’ Setitis mutiara jernih jatuh jua akhirnya.
Sebak, pilu.. semua datang bertamu di kalbu.
Perlahan tangan menarik jendela dan terus
dirapatkan. Kakinya sudah naik kebas kerana berdiri terlalu lama di situ.
Dengan longlai dia melangkah ke sofa empuk di ruang tamu. Mata melirik sejenak
pada jam dinding yang tergantung kemas. Pukul 12.00 tengah malam. Nampaknya,
malam ini juga Adam tidak akan tunjukkan mukanya di banglo itu. Benci sangatkah
dia?
Peti televisyen dipasang. Dokumentari berkisarkan
panorama alam sedang bersiaran. Sara berbaring di sofa. Mata terarah tepat pada
kaca TV tetapi fikiran melayang jauh teringatkan kampung kelahirannya. Rindu!
Itulah yang mengasak di jiwa saat itu.
Apa khabar agaknya Makcik zainab? Masih ingatkah dia
pada Sara. Tak semena-mena air mata yang tadinya seakan kering, gugur lagi. Bayang
wanita berusia lewat 50-an itu menari di ruang mata.
Meskipun hidup bersama Makcik Zainab banyak pahit
dari manisnya. Dia tetap sayangkan wanita itu. Ini kerana, semenjak arwah ibu
dan ayahnya meninggal.. Makcik Zainab lah yang telah menjaganya. Biarpun dia
terpaksa memerah keringat untuk sesuap nasi, dia tetap juga bersyukur.
Sekurangnya dia masih lagi ada tempat untuk berteduh.
Dia juga terpaksa membanting tulung empat keratnya
untuk mencari duit bagi menampung yuran persekolahannya. Semenjak kecil dia
memang sudah berkerja di sawah, mengambil upah menyulam dan bermacam jenis
kerja lagi pernah dia buat untuk mendapatkan duit. Ini kerana Makcik Zainab
bukanlah seorang yang berduit.
Hidup mereka ibarat kais pagi, makan pagi. Dan kais
petang, makan petang. Suami makciknya itu pula malas bekerja. Kaki judi dan
arak. Kadang-kala Sara kesiankan makciknya. Hanya Makcik Zainab seorang yang
berkerja membanting tulang untuk menyara mereka. Kerana itulah dia tidak pernah
salahkan makciknya andai kata wanita tua itu kadang-kala menjadi terlalu
bengis. Dia faham apa yang sedang dilalui oleh makciknya.
Sekarang, semuanya bagaikan tinggal
angan-angan. Bolehkah dia kembali menyambung pelajarannya setelah terkurung di
dalam sangkar emas milik Adam ini? Walaupun mulut lelaki itu mengatakan tidak
pernah kisah dengan dirinya, tetapi dia tetap juga berasa ragu. Memang Sara
berharap sangat dapat menjejakkan kakinya ke menara gading. Itulah impiannya
selama ini.
Adam Hakimi! Lelaki yang telah membeli Sara daripada
suami makciknya iaitu, Pak Samad. Lelaki yang telah menyelamatkan Sara daripada
terjatuh ke tangan Tauke Ah Chong, sekaligus menyelamatkan dia daripada
terjerumus kelembah pelacuran. Lelaki yang secara tidak sengaja telah menjadi
suami kepadanya tanpa rela. Lelaki yang telah mengikat tali pernikahan
dengannya bersama syarat. Ya Allah, sungguh Sara tidak kuat.
Teringatkan kembali peristiwa lalu membuatkan
hatinya makin disapa pilu. Bercucuran lagi air mata Sara. Kali ini makin lebat
sehinggakan dia teresak-esak. Sampai hati Pak Samad buat dia macam ni? Tidak
adakah sedikitpun perasaan kasihan di hati Pak Samad buat dirinya? Kenapa Pak
Samad tegar untuk menjual dirinya kepada Adam?
Sekarang, Sara semakin tertekan. Kenapa bayangan
Adam selalu saja datang menyapa ruang ingatannya sejak akhir-akhir ini. Adakah
dia sudah mula menyayangi lelaki itu? Lelaki yang bergelar suami hanya pada
nama. Lelaki yang terang-terangan mengaku bernikah dengannya kerana kasihan.
Lelaki yang mengaku sudah berteman dan tersangat mencintai teman wanitanya..
Lalu, apakah kesudahannya dengan Sara?
ADAM merenung
jam di dashboard kereta BMW miliknya. Satu keluhan berat dilepaskan. Terasa
sesak nafasnya saat itu. Tepat jam 2.30 pagi!
Lama dia
termenung di kereta. Bermacam rasa mula bersarang di jiwanya. Sara! Sejak
akhir-akhir ini, hanya nama itu yang selalu bermain di mindanya. Membuatkan
hati lelakinya menjadi sesak dan resah.
Sara Dhia.. Perempuan kampung yang dinikahi olehnya
tanpa dirancang. Adam langsung tidak menduga kepulangannya ke kampung halaman
mamanya tiga bulan yang lalu membawa perubahan besar di dalam hidupnya. Masih jelas
terbayang di ruang matanya segala apa yang telah berlaku.
“Encik! Tolong saya.”
Perempuan muda yang tiba-tiba saja muncul di laman
banglo milik keluarganya yang terletak di kaki bukit itu mengejutkan Adam.
Tubuh Adam telah dipeluk kejap. Adam dapat rasakan getaran kuat daripada tubuh
perempuan itu. Wajahnya benar-benar ketakutan.
Adam nampak ada dua orang lelaki yang bermuka bengis
sedang mengejar perempuan muda itu daripada belakang. Seorang lelaki berbangsa melayu
dan seorang lagi lelaki cina. Dahi Adam naik berkerut.
“Hei, perempuan sial! Kau mari sini.”
Tubuh perempuan muda itu telah ditarik kasar oleh
lelaki melayu yang bermuka bengis itu. Manakala lelaki cina tadi hanya
tersenyum lebar. Pelukan perempuan itu yang begitu kejap ditubuh Adam
membuatkan Adam terheret sama.
“Encik, tolong saya encik!” Teresak-esak perempuan
muda itu menangis di dada Adam. Wajahnya benar-benar ketakutan. Hati Adam
tiba-tiba disapa rasa kasihan.
“Kenapa ni?” Tanya Adam. Matanya memandang tepat
pada lelaki melayu tadi. Tubuh perempuan muda itu masih melekat kejap
ditubuhnya.
“Serahkan perempuan tu pada aku!” Jawap lelaki
melayu tadi. Tangan perempuan itu ditarik kasar.
“Pakcik.. Tolonglah pakcik. Jangan buat Sara macam
ni..” Mendayu-dayu perempuan itu merayu.
“Encik! Saya tak nak ikut dia orang..”
“Aku dah jual kau pada Ah Chong. Sekarang kau kena
ikut dia..” Tengking lelaki bengis tadi.
“Pakcik, Sara tak nak!” Makin kuat tangisannya. Hati
Adam makin sesak melihat adegan yang berlangsung di hadapan matanya.
“Berapa kau jual dia? Aku beli!” Dengan yakin Adam
menutur kata. Matanya terarah tepat pada lelaki melayu tadi.
“Itu amoi waa punya loo..” Lelaki cina yang berperut
buncit itu tiba-tiba bersuara.
“Berapa lu beli dia? Aku bayar dua kali ganda!”
Tanya Adam dengan yakin. Tubuh perempuan bernama Sara itu masih melekat kejap
pada tubuhnya. Dia benar-benar nampak ketakutan.
Adam nampak dua lelaki itu berbincang sesama sendiri
buat seketika.
“Okey, sepuluh ribu.”
Sara terduduk kaku. Apalah nasibnya. Terlepas dari
mulut harimau, masuk pula ke mulut buaya. Air mata terus laju. Ya Allah,
murahnya harga dirinya..
“Okey! Aku beli ini perempuan. Lagi satu, tolong
uruskan pernikahan aku dengan perempuan ni! Kalau boleh hari ini jugak.”
“Encik! Saya tak nak kahwin.”
“Kau berhutang dengan aku!” Mata Adam menikam tajam
ke dalam anak mata Sara yang redup. Sara terkedu.
Selepas itu, dia telah membawa Sara pulang
bersamanya ke Kuantan. Walaupun tinggal di bawah satu bumbung, tetapi meraka
tidak hidup seperti pasangan suami isteri yang lain. Adam tidak mahu rahsia
mereka terbongkar. Dia juga merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan kedua orang
tuanya. Mama dan Papa Adam sudah lama menetap di Kuala Lumpur. Papanya telah
melebarkan perniagaan mereka disana, manakala Adam pula masih menetap di
Kuantan untuk menguruskan perniagaan mereka disini.
Adam berkahwin dengan Sara cuma atas dasar kasihan.
Kasihnya pada Amira, kekasih hatinya tidak pernah berbelah bagi. Kerana itulah
dia jarang mahu pulang ke rumah. Dia takut kalau-kalau hatinya berubah. Dia
sendiri telah meletakkan syarat di dalam perkahwinan mereka. Sara diberi
kebebasan oleh Adam untuk pergi ke mana sahaja dan berkawan dengan sesiapa
sahaja asalkan pandai menjaga maruah diri sebagai seorang isteri. Namun, Sara
tidak dibenarkan bercerita kepada sesiapapun tentang perkahwinan mereka. Sara
juga tidak dibenarkan untuk masuk campur di dalam urusan peribadinya.
Tapi semenjak kebelakangan ini, wajah Sara sering
saja menyapa ruang ingatannya. Semua itu menyesakkan perasaan Adam. Kenapa dia
selalu teringatkan Sara? Kenapa bayang Sara sering datang mengganggu hidupnya
sejak akhir-akhir ini? Dan kerana itulah dia berada di sini sekarang. Perasaan
ingin bertemu dengan Sara membuak-buak.
PINTU
utama ditolak perlahan. Adam berdiri di muka pintu dengan wajah sugul dan
kepenatan. Dia berasa pelik melihat lampu masih terpasang, manakala televisyen
juga masih bersiaran. Tetapi dia tidak pula nampak kelibat Sara di mana-mana.
Adam membelek jam tangan berjenama Rolex di lengannya. ‘Dah pukul 2.30 pagi,
tak kan dia kat dapur kut..!’ desis hati kecil Adam. Perasaan hairan mula menyapa.
Dia berjalan
perlahan menghampiri sofa untuk merehatkan diri seketika sebelum masuk ke bilik
tidurnya. Namun begitu, langkah Adam terus kaku tatkala matanya terpandangkan
sekujur tubuh ramping milik Sara yang sedang nyenyak terbaring di sofa. Dia berdiri betul-betul di hadapan Sara, merenung
isterinya yang sedang nyenyak dibuai mimpi. Hati Adam menjadi hiba dengan
tiba-tiba melihat wajah mulus Sara.
“Kau memang cantik Sara. Sopan, lemah-lembut,
penyabar... maafkan aku sebab tak pernah menghargai kau. Aku tak mampu!!” luah
Adam perlahan. Terasa seperti ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya kala
itu. Matanya juga terasa pedih.
Adam akui,
Sara memang cantik! Kecantikan yang asli, yang belum pernah ditemui pada
mana-mana perempuan yang dikenalinya sebelum ini, termasuklah pada Amira
kekasih hatinya. Sara memiliki kulit yang putih bersih, gebu, bermuka bujur
sirih, kening yang halus dan lebat, mata yang jernih bercahaya dan bundar,
bibir yang merah bak delima tanpa secalit gincu pun. Dia akui juga setiap
lelaki yang terpandangkan Sara, pasti bergetar jantung mereka. Termasuklah dia
sendiri.
Adam sendiri saat pertama kali terpandangkan Sara,
lidahnya menjadi kelu dan langkahnya menjadi kaku. Saat dia dipeluk erat oleh
Sara, berderau rasa darah lelakinya. Sungguh! Sara memiliki aura memikat yang
tersendiri. Perkahwinan yang pada mulanya atas dasar kasihan, kini seakan
menjerat dirinya sendiri.
Nafas Adam mula tidak teratur. Jantungnya berdegup
kencang. Semakin dia merenung Sara, nafasnya semakin sesak. Suatu perasaan aneh
mula timbul dihatinya. Fikiran nakal lelakinya mula menjentik tangkai hati.
Membangkitkan naluri kelakiannya. Adam terasa mahu mendakap tubuh Sara saat itu
juga. Tetapi dia takut! Takut kalau-kalau Sara tersedar dan dia dituduh cuba
mengambil kesempatan.
Walaupun dia ada hak untuk berbuat begitu, dia tidak
mahu menyentuh Sara hanya kerana desakan nafsu. Atas sebab itulah, sampai
sekarang dia masih belum menyentuh Sara. Dia masih menjaga kesucian Sara. Dia
bukanlah seorang lelaki yang bertuankan nafsu. Bagi Adam, wanita adalah untuk
dilindungi.
Namun, kadang-kala dia bagaikan tertewas dek keayuan
Sara. Disebabkan itulah dia jarang mahu pulang ke rumah. Dia takut andainya dia
tiba-tiba terjatuh cinta pada Sara, sedangkan hatinya sekarang cuma milik Amira
seorang. Dia bukan jenis lelaki yang suka berfoya-foya dengan ramai perempuan.
Baginya cinta amat berharga untuk dijadikan bahan mainan. Dan sekarang cintanya
memang milik Amira seorang.
Adam mula
takut apabila teringatkan Amira. Takut andainya Amira mendapat tahu tentang
Sara. Dia begitu yakin, Amira tidak akan dapat menerimanya. Dia tidak sanggup
kehilangan Amira. Namun, untuk melepaskan Sara pergi.. memang tidak akan
sesekalinya. Bukan sikit duit yang dia laburkan untuk memiliki Sara. Tidak
mungkin dia mahu melepaskan Sara pergi macam itu saja. Tapi, apa yang
nyatanya.. bukan kerana duit semata-mata. Dia tidak mahu melepaskan Sara kerana
hatinya begitu berat untuk berbuat begitu. Adam mahu Sara terus menjadi
isterinya. Atas alasan apa, dia sendiri tidak tahu.
Buat masa
sekarang rahsia mereka memang tersimpan rapi. Tetapi Adam gusar, sampai bila
rahsia ini akan bertahan. Dia sendiri keliru dan buntu memikirkan itu semua.
Adam berjalan perlahan menghampiri Sara. Dia berdiri
betul-betul di hadapan Sara, merenung lama wajah isterinya yang masih lena
dibuai mimpi. Kepala Adam terasa begitu berat
dan sarat. Dia tidak tahu mengapa dia masih mahu Sara menjadi isterinya
sedangkan dia tidak pernah mencintai Sara. Tetapi saat dia menyambut tangan
imam pada hari mereka dinikahkan itu, satu peraasaan yang begitu sukar untuk dimengertikan
hadir dalam hatinya saat Sara sah bergelar isteri kepadanya. Perasaan yang
begitu halus dari dasar hatinya yang paling dalam.
Tiba-tiba Sara memusingkan tubuhnya ke kanan,
betul-betul mengadap Adam. Adam sedikit kaget, kemudiannya dia menarik nafas
lega apabila melihat Sara kembali lena disitu. Mungkin Sara berkalih untuk
mencari posisi yang lebih selesa ataupun dia kesejukan. Timbul perasaan simpati
di hati Adam melihat keadaan Sara begitu. ‘Dia tunggu aku balik ker?’ desis
Adam penuh tanda tanya. Ingin sekali rasanya dia memeluk Sara saat itu agar
Sara tidak kesejukan lagi. Hati kata mahu.. tapi, tangannya terus kaku.
Perlahan-lahan bahu Sara cuba disentuh oleh Adam. Dia
mahu kejutkan Sara supaya masuk tidur di biliknya. Tetapi lain yang dihajat, lain
pula yang telah terjadi. Dia tidak dapat menahan desakan perasaannya. Tanpa
sedar bibirnya sudah selamat mendarat di ubun-ubun kepala Sara. Mengucup lembut
ubun-ubun isterinya itu. Adam terus hanyut, dibuai perasaan yang indah. Dalam
tak sedar juga, Adam sudah melampaui batas. Dari ubun-ubun terus turun ke bibir
merah basah milik Sara. Bibir Sara yang merah basah itu dicium lama. Hangat dan
membara.
Dengan spontan Sara terjaga dari lenanya dan bingkas
bangun. Dia mengurut dadanya, betul-betul terperanjat dengan kelakuan Adam
sebentar tadi. Jantungnya berdetak kencang, bagaikan tidak berhenti berlari.
Dengan dahi yang berkerut dan diri yang masih mamai-mamai, dia merenung Adam.
“Ya Allah!! Terkejut saya. Awak buat apa pada saya
ni?” Mata Adam ditentang lama bersama kerutan yang semakin berlapis di dahi. Dia
kebingungan. Dadanya berombak kencang. Masih terasa hangatnya bibir Adam yang
melekat kejap di bibirnya sebentar tadi.
Adam ketawa dalam
hati sambil mengutuk dirinya sendiri. Dia sedaya-upaya cuba mengawal emosinya
dan cuba berlagak biasa seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku sebentar
tadi. Lama juga mata mereka bertemu. Allah saja yang tahu perasaan Adam tika
itu.
“Aku buat apa? Aku cuma nak kejutkan kau!! Yang kau
tidur dekat sini kenapa? Itu, nasib baik aku yang masuk! Kalau perompak atau
perogol yang masuk macam mana?” bentak Adam sedikit keras, konon-kononya marah.
Padahal semua itu adalah lakonan untuk menutup perasaan malunya pada Sara. Dia
yakin Sara tahu apa yang sudah terjadi. Adam tebalkan saja mukanya.
“Err, Emm..” Sara sudah kehilangan kata-kata.
Melihat wajah Adam yang serius dan kelat itu sudah cukup untuk membuatkan
hatinya berasa kecut. Mana tak kecut! Suaminya itu tidak pernah mahu senyum
padanya. Garangnya mengalahkan singa jantan tengah mengawan.
“Kalau aku buat apa-apa pun kau nak cakap apa?
Bukannya haram pun! Lagipun aku ada hak tau..” Adam berbisik perlahan di tepi
telinga Sara. Dia kemudiannya ketawa kecil dan terus meninggalkan Sara yang
masih terpinga-pinga seorang diri disitu.
DI
dalam biliknya, Adam tidak dapat hendak melelapkan matanya walau sepicing pun.
Dia keresahan! Satu perasaan yang aneh lagi indah mula hadir dalam hatinya
terhadap Sara. Sedikit demi sedikit rasa itu telah merobekkan ketenangan di jiwanya.
Apa yang berlaku sebentar tadi masih setia menari-nari di benak fikirannya,
membuatkan senyuman nakal terukir mekar di bibir lelakinya.
Masih terasa hangatnya bibir Sara. Naluri lelakinya
berkocak lagi. Perasaan ingin mendampingi Sara membuak-buak. Sungguh! Dia masih
tergilakan bibir merah Sara. Rasanya belum puas.
MANAKALA
Sara pula masih terduduk kaku di sofa. Kata-kata Adam masih terngiang-ngiang di
cuping telinganya. Tiba-tiba dia berasa seram dan takut. Takut andainya dia
dikecewakan dan dipermainkan. Sara keliru dengan perasaannya sendiri. Perasaannya
yang begitu mendalam terhadap
Adam semenjak akhir-akhir ini seringkali meresahkan jiwanya. Memang dia mengaku,
kadang-kala dia berasa begitu rindukan Adam. Rindu untuk menatap wajah kacak
suaminya, rindu untuk melihat jelingan tajam Adam kepadanya. Dia rindu
segala-galanya tentang Adam. ‘Apakah ini di namakan cinta?’ Sara semakin buntu.
Walaupun terasa sakit, tetapi masih tetap mahu mengingati!
Malam itu Sara tidak dapat untuk melelapkan matanya
sampai ke pagi. Masih terbayang-bayang di ingatannya tentang perbuatan Adam
tadi. Masih terasa hangatnya bibir milik Adam, melekat lama di bibirnya. Buat
pertama kalinya Adam melakukan perkara itu. Dia dapat merasakan kemesraannya
walaupun secara curi-curi. Terasa olehnya, seolah-olah perasaan kasih dan sayang
mengalir deras.. meresap masuk ke tubuhnya bagaikan aliran arus elektrik.
Namun, Sara cepat-cepat menyedarkan dirinya dan mengusir
perasaan itu agar menjauh. Jauh dari hatinya. Adam bukan miliknya yang mutlak.
Cinta dan kasih sayang Adam bukan untuk dirinya. Takdir mereka cuma diketemukan
sebagai sepasang suami isteri, tetapi bukan untuk saling menyayangi dan
mencintai.
Semua itu
telah diakui sendiri oleh Adam pada hari mereka dinikahkan. Akhirnya air mata
Sara tumpah jua. Jiwanya terasa kosong dan kesunyian. Kini dia tahu, dia cuma
seorang diri di atas bumi Allah ini tanpa ibu dan ayah, tanpa adik-beradik dan
saudara mara. Dia cuma bersama seorang lelaki yang begitu asing baginya
sekarang.
Lelaki yang
bergelar suami atas pada nama. Tiada kemesraan, tiada cinta dan kasih sayang.
Dia mula terkenangkan arwah ibu dan ayahnya. Kalaulah mereka masih ada.. tentu
semua nasib malang ini tidak menimpa dirinya. Dia cuma mampu berdoa agar diberi
sedikit kekuatan oleh Allah, supaya dia terus kuat untuk menghadapi semua ujian
ini. Semoga masih ada sinar bahagia buatnya pada hari esok. Dia tidak pernah
akan berputus asa. Sara yakin, di sebalik derita, pastikanada terselitnya
bahagia..
No comments:
Post a Comment