Tuesday 30 June 2015

KU PILIH UNTUK SETIA KARYA AMEERA AMEER

BAB 5



Baju Ku Ariff yang diambil dari kedai dobi malam tadi terus disusunkan kemas ke dalam almari. Terpandangkan baju-baju tersebut Dania sudah tersenyum sendiri. Selamat duit aku sebab Ku Ariff yang bayar sendiri untuk baju-bajunya. Bisiknya. Dia pun tak sangka sebelum Ku Ariff pergi kerja semalam, selepas memberi ceramah panjang lebar dan mengajar cara menggunakan mesin basuh, Ku Ariff terus menghulurkan empat keping duit lima puluh ringgit kepadanya untuk mengambil baju-bajunya di kedai dobi. Siap dengan pesanan kalau ada baki awak ambil ajelah. Murah hati kot! Gelaknya pula.
Dengan bibir yang masih menguntum senyum, Dania terus mencapai beg sandangnya. Resit dan baki duit dikeluarkan kemudian diletakkan di atas meja kecil di sebelah kiri katil Ku Ariff dengan sekeping nota diletakkan di bawah baki duit tersebut.

Ku Ariff,
Ini baki duit ambil baju di kedai dobi semalam. Saya pulangkan balik ya. Mak saya pesan jangan ambil duit orang sesuka hati. Jadi terima kasih daun keladi tapi saya tak suka terhutang budi sebab takut tergadai body! J
P/s : Baju-baju tu dah selamat saya gantungkan dalam almari. Tengoklah yer. Kalau ada yang terkurang mesti pekerja kedai dobi tu saja nak buat kenangan agaknya.
Zahirah

Beg sandangnya diletakkan di tepi meja sisi dan bilik Ku Ariff dikemaskan. Selesai, Dania terus turun ke tingkat bawah menuju ke ruang dapur. Peti sejuk dibuka dan barang-barang di dalamnya diperiksa satu persatu. Mana yang sudah tamat tempoh luputnya dicampakkan ke dalam bakul sampah. Melihat banyak barang-barang yang sudah tamat tempoh, kepalanya digelengkan.
“Beli macam-macam tapi tak reti nak makan. Kuat membazir betul. Orang lain hidup kebuluran dia pulak main buang-buang. Mentang-mentanglah orang banyak duit. Susah nanti baru kau tahu langit tu tinggi atau rendah.” Bebelnya sambil mencampakkan bungkusan cheese, roti dan kotak air susu ke dalam bakul sampah di sebelahnya. Selesai mengemaskan dapur dia terus keluar menuju ke porch.
“Okay, sekarang waktu untuk bermain air.” Bisiknya sambil tersenyum. Apa tidaknya, itulah kerja yang paling dia suka sekali. Dapat main air! Air paip terus dibuka dan disiram di sekitar lantai. Sabun ditabur dan kerjanya dimulakan. Selesai membersihkan porch, Dania masuk semula ke dalam. Jam di dinding dikerling kemudian dahinya ditepuk perlahan. Temujanji dengan Zahirah pukul enam petang tetapi sudah pukul 5.30 petang dia masih lagi tercongok di rumah Ku Ariff. Rajin sangat aku hari ni macam tak nak balik pulak dah. Bisiknya sambil tersengih.
Tidak menunggu, Dania terus saja berjalan laju menuju ke bilik belakang. Beg sandangnya dicapai. Nak mandi tak? Soalnya sendiri. Tubuhnya diperhati kemudian tangannya diangkat dan badannya dihidu. Yuck, busuk! Mandi dululah Nia. Takkan kau nak pakai macam ni jumpa Irah. Bau pun bukan main semerbak lagi. Sebelum Zahirah pengsan baik kau mandi. Kena kutuk sia-sia aje nanti.
Baju yang dibawa di dalam beg sandangnya dicapai dan dia terus berjalan laju menuju ke bilik. Sebaik bersiap, Dania terus saja berlari keluar dari rumah Ku Ariff menuju ke keretanya. Enjin keretanya dihidupkan dan terus dipandu laju untuk beredar dari situ.  


Kereta diparkirkan. Sebaik keluar, penggera ditekan. Nafasnya dihela untuk meredakan panas di hati. Apa tidaknya, nyaris-nyaris BMW 5 series miliknya berlanggar dengan sebuah Satria Neo berwarna silver di simpang masuk ke rumahnya itu. Sedari tadi tidak habis-habis dia menyumpah perempuan yang membawa kereta tersebut. Macam-macam kata seranah keluar tanpa sedar. Perlahan-lahan Ku Ariff beristigfar dalam hati. Malas untuk membiarkan perasaan marah menguasai diri Ku Ariff terus masuk ke rumahnya dan terus berjalan menuju ke biliknya. Selesai mandi dan solat Asar Ku Ariff terus berbaring di atas katil. Penat. Memang hari ini dia terlalu penat dan kerana itulah dia balik awal dari selalu. Nasib baiklah pada waktu-waktu begitu, pembantu rumahnya memang sudah tiada. Tubuhnya dipusingkan ke kiri katil. Terpandangkan duit di atas meja sisi,  Ku Ariff bingkas bangun. Duit, resit dan nota di atas meja di sisi tersebut diambil. Sebaik membaca nota yang ditinggalkan, Ku Ariff terus tersenyum, hilang amarah yang membelengu dirinya sedari tadi. Kepalanya digelengkan. Macam-macam budak Zahirah ni. Bisiknya perlahan dengan senyum yang masih lebar terukir di bibir.


"Sorry Irah, aku lambat sikit," sapa Dania perlahan dan terus duduk di hadapan sahabatnya itu.
Zahirah tersenyum meleret. "Syok sangat ke kerja kat rumah Ku Ariff sampai tak reti nak balik,” usiknya. Keningnya dijungkitkan.
Dania mencemik. "Tak ada maknanya nak syok. Sakit-sakit badan aku ni ha. Mamat tu memang cerewet giler kau tahu tak. Macam-macam benda nak dikomennya. Lap cermin tak bersih sikit pun nak membebel. Tertinggal kotak pizza pun nak marah. Haish! menyampah aku. Tapi kau tahulah aku kan, sejengkal dia mengomen tiga empat jengkal pulak aku balas balik. Ingat dia sorang aje reti nak membebel? Ingat dia sorang aje ada mulut?" Panjang lebar Dania menjawab sebelum dia bangun semula dan  menuju ke kaunter untuk memesan latte sebelum dia duduk semula.
"Kau ni Nia, kalau bercakap tu cubalah berhati-hati sikit, dia tu lelaki, kau pulak perempuan. Sorang-sorang aje dekat rumah dia. Kau janganlah sesuka hati nak naikkan angin dia. Jadi apa-apa nanti siapa yang susah? Mama dengan abah  kau tak tahu tau pasal ni. Aku ni selalu risau memikirkan kau sorang-sorang kat rumah tu. Kalau ikut hati aku ni, hari-hari aku ikut kau pergi sana tau tak!" Zahirah sudah mengeluarkan ayat mak-mak di hadapan sahabatnya itu.  Tetapi memang sungguhpun dia risau. Dania buat semua itu pula kerananya. Kalau jadi apa-apa memang dia tidak akan memaafkan diri sendiri.
Dania hanya tunjuk sengih. Macam tak terkesan langsung dengan kata-kata sahabatnya itu.
“Aku cakap betul-betul kau sengih aje?” Marah Zahirah pula. 
"Irah, kau tu fikir jauh sangat. Lagipun beranilah dia nak buat apa-apa kat aku. Kalau agak-agak nak merasa duduk hospital try lah," balas Dania sambil tersengih.
Mendengar kata-kata sahabatnya itu, Zahirah gelengkan kepala. "Nia, cuba jangan main-main, aku cakap betul-betullah." Bebelnya geram. Rasa hendak dilempar sahaja Dania dengan gelas di hadapannya itu. Tak pernah nak serius.
"Ala, kau tak perlu risaulah Irah. Ku Ariff tu nampak aje bossy tapi dia tu tak adalah sejahat yang kau fikirkan. Okey aje dia tu. Mulut dia aje yang aku tak boleh tahan. Kuat membebel macam mak nenek. Orang tua memang macam tu agaknya. Memang malanglah siapa yang jadi bini dia nanti," kutuk Dania selamba. Air latte di hadapan dihirup perlahan.
"Kau jangan mengutuk lebih-lebih Nia nanti kata-kata makan tuan. Tak pasal-pasal kau pulak yang jadi bini dia," pesan Zahirah mengingatkan.
Dania tergelak lepas. Apalah lawak benor kata-kata Zahirah tadi.
"Mengarutlah kau Irah. Aku kerja dengan dia tiga bulan ajelah. Lepas tu sayonaralah Ku Ariff. Aku juga harap lepas itu aku tak akan jumpa dia lagi. Amin." ucap Dania sambil mengangkat kedua-dua tangannya ke langit kemudian diraupkan ke muka.
"Hurm…iyalah Nia. Tapi kalau Allah dah aturkan jalan yang lain, walau kau mengelak macam manapun kau tetap akan jumpa dia juga."
“Ish kau ni. Janganlah cakap macam tu. Ngeri pulak aku dengar. Cuba doakan yang baik-baik aje. Orang tua tu!”
Zahirah tergelak. “Tua-tua pun still nampak kacak. Macho pulak tu.” Giatnya lagi.
“Mintak simpang!”
Melihat riak sahabatnya itu, tawa Zahirah semakin menjadi-jadi.  Dania....Dania...






















No comments:

Post a Comment