BAB 1
“URGENT!
Kau datang sini sekarang jugak!” Jeritan Tania menyapa gegendang telinga Tif
yang baru sahaja keluar dari bilik air. Apa kena pula dengan kawan aku ni?
“Datang sana? Ada apa ni? Kau ni, tak bagi salam apa, tiba-tiba suruh
datang. Datang mana?” Serius tak mengerti. Jawab telefon terus kena serbu. Mana
nak faham. Pangkalnya tidak tahu, dah nak ke hujung. Haisy!
“Aku dekat area rumah Ina.
Jangan banyak cakap, aku cakap datang, datang jelah,” marah Tania. Hendak
diberitahu perkara sebenar, nanti pasti akan ditanya dengan pelbagai soalan.
Jadi lebih baik tuan punya diri yang melihat apa yang terjadi sebenarnya.
“Kau dekat rumah Ina? Buat apa? Oh ya, kau memang sepatutnya jemput dia
pagi ni dan korang nak pergi spa, kan? Jadi kenapa?” tanya Tif.
Sepatutnya dia yang menemani Tania ke spa hari ini namun disebabkan pagi
ini dia ada temujanji bersama encik tunang, terpaksalah dia membatalkan
janjinya dengan Tania. Mujur Tania tidak marah kerana Ina sudi menemaninya.
Dan
pagi ini, dia sedang sibuk bersiap untuk keluar bersama tunangnya, Firdaus.
Tania telefon dengan berita yang kurang sedap. Mungkin.
“Sekarang ni, kau tak perlu cakap apa-apa. Ambil kunci kereta kau, drive kereta kau sampai dekat rumah si
Ina ni. Bila kau sampai nanti, kau akan sedar betapa pentingnya apa yang aku
nak sampaikan ni.”
Tutt.. tutt.. tutt..
Tif
sudah membuka mulut untuk membalas kata-kata Tania namun talian sudah
dimatikan. Isy, janganlah buat aku saspen!
Jam
pada dinding dipandang sekilas. 9 pagi. Okey, masih sempat sebelum Firdaus
datang jemput. Kata tunangnya, dia akan datang jam 10 pagi. Bermakna masih ada
satu jam. Kunci kereta di atas meja solek dicapai sebelum melangkah keluar dari
bilik.
“Ha, Tif! Nak ke mana tu? Kata nak keluar dengan Firdaus. Umi tak nampak
pun kereta dia,” sapa Hajah Fauziah. Pelik pula melihat anak gadisnya itu
terkocoh-kocoh keluar rumah.
Terkejut Tif mendengar sapaan mengejut daripada uminya. Dia memandang
uminya yang sedang menyiram pokok bunga yang ada di halaman rumah. Rajin
sungguh uminya ini. Pagi-pagi sudah menyiram pokok bunga. Kalau dia yang jaga
pokok tu, tak sampai seminggu, pokok tu dah mati kekeringan. Dia ini bukanlah
orang yang minat dengan bunga-bunga ni. Too
feminine!
“Nak pergi rumah Ina. Ada hal sikit dengan Tania,” jawab Tif sebelum
berlalu pergi meninggalkan Hajah Fauziah yang masih bingung.
‘Pergi rumah Ina tapi ada hal dengan Tania. Pelik benar bunyinya! Tania
sudah berpindah ke rumah Ina, kah?’ Hati tuanya mula mempersoalkan jawapan
anaknya tadi. Tidak lama kemudian, kereta Savvy hitam milik anak gadisnya itu
hilang daripada pandangannya.
Tif
memandu dengan otak yang sarat dengan tanda tanya. Pedal minyak ditekan kuat.
Tidak sabar pula mahu mengetahui apa yang penting benar, seperti kata Tania.
Sepuluh minit kemudian, dia memasuki taman perumahan Ina.
Matanya meliar mencari Myvi merah milik Tania. Kereta itu kelihatan jauh
sedikit daripada rumah Ina. Dia memberhentikan keretanya di belakang kereta
Tania.
Tif
keluar daripada kereta sebelum melangkah ke arah kereta Tania. Nampaknya Tania
masih bertapa di dalam keretanya. Tanpa memberi apa-apa isyarat, Tif terus
masuk ke dalam kereta itu.
“Ha! Apa yang kononnya penting sangat tu? Alien dari planet Pluto baru
terjun ke planet Marikh ke?” soal Tif, agak sarkastik. Dia memandang temannya
yang masih memakukan pandangannya pada satu arah. Tidak lansung memberi apa-apa
reaksi untuk soalannya yang sengal itu.
Tif
menampar perlahan bahu Tania. Tadi beria menyuruh dia datang. Bila dah sampai,
tak cakap apa-apa pulak. Waduh, mimpi apa kawan aku ni malam tadi? Pagi-pagi
dah sawan.
“Cuba kau pandang sana. Aku sure
kau takkan mampu bercakap lagi lepas ni. I’m
too sorry to say this. That’s your
fiance with our beloved friend. Mereka baru lepas akad nikah,” beritahu
Tania dengan suara yang perlahan. Namun segalanya begitu jelas pada telinga
Tif.
Dua
perkataan terakhir Tania bagaikan dirakam oleh suatu pita perakam dan kini
sedang dimainkan berulang kali di dalam otaknya. Akad nikah?
Tif
cuba memfokuskan pandangannya. Ya, benar sekali. Itu Firdaus dan Ina. Mereka
berpakaian sedondon berwarna krim. Firdaus memakai baju melayu bersamping dan
Ina kelihatan manis dengan baju kurung moden yang membaluti tubuhnya. Ya Allah,
dugaan apakah ini?
“Tapi aku tunang Firdaus,” ujar Tif dengan mata yang sudah berlinangan
dengan air mata. Firdaus Naiem! Itu lelaki pertama yang berjaya mencuri hatinya
ketika di universiti lima tahun dulu. Pastinya dia sangat menyayangi lelaki
itu. Mereka berdua telah merancang untuk berkahwin 5 bulan lagi. Tetapi kenapa
Ina yang berada di sisi Firdaus sekarang?
“Bekas tunang! Dia dah jadi suami orang, Tif. Kau sedar tak? Nak buat
apa fikir pasal lelaki tak guna macam dia tu? Sia-sia!” kata Tania dengan nada
yang tegas. Sesungguhnya dia mahu melenyek Firdaus dan Ina menggunakan kereta
kebal saat ini. Dan Ina, tegarnya dia merampas Firdaus daripada Tif.
Tif
sudah menangis teresak-esak. Mukanya ditekup dengan kedua-dua belah tangannya.
Hancur hatinya melihat semua ini. Firdaus! Sanggup awak buat saya macam ni! Apa
salah saya?
Tania menarik Tif ke dalam pelukannya. Sebak hatinya melihat keadaan Tif
kala ini. Dia mengusap perlahan belakang badan temannya yang masih menangis.
Dia tahu bagaimana perasaan Tif terhadap Firdaus. Tif sangat sayang akan Firdaus
dan siapa sangka Firdaus sanggup curang. Tak guna kau, Firdaus!
“Sabar, Tif. Lupakan dia, Tif. Mula hidup baru. Lelaki macam dia tak
patut dapat cinta kau,” Tania cuba memujuk.
Saat ini, Tif buntu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia bagaikan
hilang arah saat ini. Mujur ada Tania yang sudi menemaninya. Sakit. Itu yang
dirasa oleh hatinya sekarang. Tahniah kepada Ina dan Firdaus yang berjaya
menghancurkan hatinya pagi ini.
Matanya merenung Firdaus dan Ina yang berpegangan tangan masuk ke dalam
rumah. Memang aku akan lupakan kau berdua. Kau berdua takkan ada lagi dalam
kamus hidup aku. Tapi, sebelum tu, aku takkan biarkan penutup kisah kita bertiga
berakhir macam ni. Puaskan hati sebelum melupakan!
Keberanian tiba-tiba timbul dalam dirinya. Dia keluar daripada kereta.
Kakinya laju melangkah ke arah rumah Ina. Serang? Mungkin itu perkataan yang
sesuai untuk apa yang dilakukan kini.
Panggilan Tania tidak dipedulikan. Apa yang terbuku di dalam hati harus
diluahkan sebelum dilepaskan untuk selama-lamanya. Kau fikir aku ni apa yang
boleh dibuat main? Rasa marah semakin membara.
“Firdaus! Ina!” jerit Tif. Dia tidak peduli jika tetamu yang ada
memandangnya sebagai seorang gila, meroyan, sawan, sasau atau apa sahaja yang
seangkatan dengannya. Katalah apa sahaja, kau semua bukan kenal aku. Yang
pastinya, aku takkan jejak lagi kaki di rumah ini.
Firdaus
dan Ina segera keluar dari rumah sebaik sahaja terdengar nama mereka dijerit
oleh suara yang mereka berdua sangat kenali. Zatifa Adelia?
“Tif!” Mereka berdua terkejut dengan kehadiran seseorang yang sepatutnya
tidak tahu akan pernikahan mereka yang mengejut ini.
Tanpa disangka-sangka, Tif maju beberapa langkah sebelum menghadiahkan
penampar buat si pengantin perempuan yang kelihatan terkejut dengan
kehadirannya di sini.
Beberapa saat berlalu dengan kedengaran suara-suara yang berbisik.
Mungkin sudah mula membuat pelbagai jenis andaian.
Pengantin
perempuan ditampar kerana merampas suami orang. Pengantin perempuan ditampar
kerana itu dan ini. Dan mungkin banyak lagi. Biasalah, manusia. Suka benar
membuat sebarang andaian walaupun secara dasarnya tak tahu apa pokok pangkal
cerita.
“Aku betul-betul tak sangka kau sanggup buat aku macam ni. Kawan jenis
apa kau ni, ha? Suka dilabel perampas? Dia tunang aku!” marah Tif dengan suara
yang serak. Air matanya berjuraian di pipi.
“Tif, kau baliklah. Dia dah jadi suami aku dan dia bukan lagi tunang
kau. Harap kau boleh terima kenyataan yang Firdaus milik aku. Bukan milik kau,”
ujar Ina dengan rasa tidak bersalah. Bagi dia, bukan salah dirinya jika Firdaus
yang memilih untuk bernikah dengannya pagi ini.
Tania yang berada di belakang Tif merenung tajam Ina yang lansung tidak
punya rasa bersalah. Apa tidak cukup tamparan Tif tadi? Mahu ditambah dengan
karate aku agaknya, getus hati Tania.
“Tif, ini keputusan saya. Ina pilihan saya,
bukannya Tif. Harap Tif faham,” kata Firdaus yang sedari tadi hanya membatu
seperti lelaki pengecut.
“Apa salah saya? Cakaplah! Sia-sia saya sayangkan awak, cintakan awak
tapi ini yang awak balas?” Mendengar kata-kata Firdaus tadi membuatkan hati Tif
semakin hancur.
Sia-sia dia bercinta dengan Firdaus selama lima tahun. Ini pengakhiran
kisah mereka. Berakhir dengan kecurangan Firdaus terhadapnya.
“Kau
berdua ni memang tak guna. Eloklah, kawan makan kawan. Yang kau ni Firdaus,
mata kau tu dah buta agaknya. Dah ada tunang, kau cari lain. Kawan baik tunang
kau pula tu. Macam tak ada orang lain. Kot ye pun dah muak dengan si Tif ni,
carilah orang lain. Dah jom kita balik Tif.”
Tania melepaskan amarahnya. Dia menarik tangan Tif yang sudah diam. Dia
faham apa yang dirasakan oleh temannya itu.
“Selamat berbahagialah walaupun orang yang nak berbahagia atas
penderitaan orang lain ni, susah nak nampak cahaya bahagia tu. By the way, lepas ni kau berdua tak
payahlah susah-susah nak jumpa kami berdua sebab kau berdua dah tak wujud dalam
hidup kami berdua!”
Tania memapah Tif yang sudah tidak larat hendak berjalan. Pagi yang
teruk bagi kawannya ini. Dikhianati oleh teman rapat dan tunang yang tercinta,
sungguh perit.
Siapa sangka Ina yang selama ini menyokong segala pilihan Tif kini
merampas Firdaus. Masih wujud rupanya manusia sebegini di dalam dunia ini. Hati
Tania bertambah sakit mengenangkan cara Ina tadi. Bukan mahu meminta maaf
tetapi semakin lancang mulutnya berkata-kata. Firdaus pula? Hanya diam. Dasar dayus
dan pengecut!
“Takkan kau nak drive balik
sendiri? Aku hantar kau! Jangan nak mengada.” Jawabnya apabila Tif memberitahu dia mahu pulang sendiri. Dengan
keadaan Tif sebegitu, mampukah dia menumpukan perhatian? Tidak! Dia tidak
mampu!
“Aku okey,” ujar Tif dengan suara yang hampir tidak kedengaran.
Tenggelam dalam esakannya yang masih bersisa. Dia terus berjalan ke arah
keretanya tanpa mempedulikan Tania atau apa-apa lagi. Sekali pun ada bom dari
Amerika meletup di sini, dia sudah tidak peduli.
“Tapi nanti… kau..” Kata-kata Tania terhenti begitu sahaja kerana
temannya itu sudah masuk ke dalam kereta. Keluhan berat dilepaskan. Aku simpati
dengan kau, Tif! Semoga kau kuat!
Tif
yang baru masuk ke dalam kereta terus menghidupkan enjin sebelum memandu
keretanya menghala ke lebuh raya. Saat ini, dia tidak tahu arah mana yang
hendak dituju. Mustahil untuk dia pulang ke rumah dalam keadaannya sebegini.
Pasti umi akan mengajukan pelbagai jenis soalan nanti. Pastinya dia belum cukup
kuat untuk menjawab apa-apa soalan buat masa sekarang.
Dan
hari itu berlalu tanpa tujuan untuk seorang gadis bernama Zatifa Adelia. Tiada
kompas yang menentukan ke mana harus dia tuju. Keretanya dipandu mengikut
kehendak hatinya. Jika mahu masuk simpang kiri, dia membelok ke kiri, begitu
juga sebaliknya.
Akhirnya, dia memberhentikan keretanya di tepi sebuah tasik. Apa nama
tasik ini? Dia tidak tahu kerana dia sendiri tidak tahu di mana dia sekarang.
Nampaknya dia perlu mengambil masa untuk mencari jalan pulang nanti.
Tif
mengambil tempat di sebuah bangku kayu yang ada di tepi tasik itu. Dia
melemparkan pandangannya ke tengah-tengah tasik. Dengan harapan, hatinya akan
menjadi setenang air tasik itu. Air matanya sudah berhenti mengalir. Mungkin
sudah penat menangis. Segalanya hanyalah sia-sia.
Tif
menanam tekad. Firdaus harus dibuang secara kekal daripada hidupnya. Tania
benar. Apa gunanya mengingati lelaki yang jelas-jelas tidak guna. Biarlah hari
ini menjadi hari yang terakhir untuk dia mengingati lelaki bernama Firdaus
Naiem itu. Dan Ina?
Buat temannya itu, oh masih pantaskah Ina digelar teman selepas apa yang
dia lakukan? Rasanya tidak. Tergamak kau, Ina. Hati Tif perit apabila
teringatkan segala cacian dan makian yang Ina hambur padanya tadi. Dalam kes
ini, bukankah sepatutnya dia yang marah dan bukannya Ina? Aneh sungguh
perempuan tu!
Telefon bimbit di dalam tas tangannya dikeluarkan. Skrin yang gelap itu
ditatap. Ya, memang dia sengaja mematikan telefonnya. Tania pasti akan
memberitahu umi dan umi pasti akan cuba menghubunginya. Kala ini, dia mahu
bersendirian sahaja.
Otaknya yang sudah lari daripada tahap kewarasan harus dipulihkan
sebelum membuatkan orang lain turut sama hilang kewarasan apabila berhadapan
dengan dirinya yang tidak waras. Wah, banyak sungguh ‘waras’nya.
Tanpa
melihat jam, Tif sudah dapat mengagak bahawa hari sudah lewat petang. Dia mengambil
keputusan untuk pulang selepas dirinya tenang sedikit selepas melihat kebesaran
Allah. Burung-burung juga sudah bising berkicau mahu pulang ke sarang. Masakan
dia mahu duduk di situ lebih lama. Burung pun pandai balik rumah.
best cerita baru ke.
ReplyDelete