Luqman Hakimi memberhentikan Mercedes SLK rona silver betul-betul
di depan lampu isyarat yang sudah bertukar warna kepada merah itu. Nasib baik
dia tidak tersasar brek mengejut. Kalau tidak, pasti dia mendapat kompaun RM300
kerana melanggar lampu isyarat. Ada 30 saat lagi dia perlu menanti sehingga
lampu isyarat itu bertukar semula ke warna hijau.
Pandangan matanya dihala ke arah beberapa orang menyeberangi jalan
menggunakan lintasan kuda belang di depannya itu. Dalam ramai orang yang lalu
lalang itu matanya tertancap pada gadis comel yang memimpin seorang pejalan
kaki memegang tongkat putih. Pasti pejalan kaki itu seorang OKU penglihatan. Hatinya
meneka.
Gadis itu melempar senyuman buat semua yang
memerhati. Senyuman gadis itu terasa meresap terus ke dasar hatinya. Kemudian,
gadis itu pula dengan selamba melambai-lambai kepada semua kereta yang berhenti
kala ini. Sesekali terlihat gadis itu seolah-olah bercerita pada lelaki yang
dipimpinnya. Penuh gaya dengan mulut yang tak henti bercakap dan tangan
digawangkan itu.
Luqman Hakimi terus melihat sehingga gadis itu
selamat sampai bersama lelaki yang dipimpinnya hingga ke seberang jalan.
Kemudian gadis itu menghala ke arah yang bertentangan pula. Luqman Hakimi masih
galak memerhati.
Betapa indahnya dirasakan pagi ini kerana mata
melihat sesuatu yang mengasyikkan. Senyuman gadis itu terasa melekat dihati.
Dia senyum segaris. Tak mungkin akan ketemu lagi senyuman semanis kurma itu.
Bunyi hon yang membingitkan telinga membuatkan
Luqman Hakimi tersedar dari khayalannya. Dia melihat sekilas lampu isyarat yang
sudah bertukar warna hijau itu.
Hmm…patutlah bertubi-tubi bunyi hon
membingitkan telinganya, rupanya dia mengganggu lalu lintas.
Semua
manusia pagi ini berebut untuk ke tempat kerja termasuk juga dengan dirinya.
Tanpa membuang masa dia menekan pedal minyak Merc SLK miliknya membelah
jalanraya menuju ke destinasi. Namun senyum masih tidak lekang dibibir apabila
wajah gadis tadi bermain-main dimatanya.
AKU masih lagi mengelap beberapa kristal yang
berbentuk burung dan hati itu. Shira pula masih sibuk di kaunter melayan
pelanggan yang beratur hendak membayar cenderamata yang dibeli. Aku teruskan
kerja kerana beberapa kristal kaca ini perlu diletakkan dirak pamer secepat
mungkin. Nasib baik pelanggan tidak ramai hari ini. Tak adalah kalut sangat
hendak mengelap kristal dan melayan pelanggan lagi. Maklumlah Kedai Cenderamata
Heart milik Madam Chia ini tak ramai pekerja. Termasuk aku dan Shira serta anak
buah Madam Chia adalah 4 orang.
Nak buat apalagi, terpaksa kerja kuli walau
gaji ciput. Sudah banyak permohonan kerja aku minta bersesuaian dengan Ijazah
Sarjana Muda Sumber Manusia yang kugenggam selepas konvokesyen tahun lepas.
Satu pun tak dapat. Tinggal habuk je yang kugenggam kala ini. Hendak balik
kampung rasanya tak memadai. Lagi tak ada kerja. Lebih baik aku teruskan misi
mencari kerja di Kuala Lumpur ini.
“OMG!”.
Aku terdengar suara wanita melatah. Serentak
itu ada barangan kaca yang terhempas. Aku segera menuju ke arah wanita yang
sudah tertonggek mengutip serpihan Kristal berbentuk burung 2 ekor itu
dilantai.
“Miss…apa yang dah berlaku?”. Soalku ingin
tahu.
Serentak,wanita itu pantas berdiri. Dia buat
wajah selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku. Aku terus menerpa melihat kristal
kaca yang bersepai dilantai. Aku kutip serpihan kristal itu lalu aku unjukkan
pada dia. Namun wanita berbaju sendat dan tidak cukup kain itu buat muka bodoh
je. Aku pula yang rasa nak naik hantu. Tapi bila fikirkan slogan ‘customer
always right’ aku maniskan muka. Hendak buat
apalagi.Dia pelanggan.Jadi, kena layan
dengan baik walau dah sah-sah dia buat silap.
“Miss!”.
Aku tinggikan suara memanggil wanita itu yang
sudah melangkah hendak meninggalkan kedai ini. Ini kalau dia tak bayar siapa
nak bayar. Tak akan aku pula?. Tak pasal gaji yang tinggal ciput kena potong
lagi. Ini bukan salah aku!.
Dia mengalih postur tubuhnya lalu memandang
aku.
“Once broken consider sold”. Aku ucap begitu.
Namun wanita yang berbedak dan make up tebal
itu buat muka tak bersalah. Aku pula yang rasa panas hati. Dia tarik muncung
pula, dah serupa itik serati. Dahla muka serupa tepung gomak, dengan tak
aslinya kerana nampak sangat plastik hasil cucuk botox sana sini.
“What?”. Dia ulang tanya.
Hish…dahla buruk…pekak pulak tu!. Gerutu aku
dalam hati.
“Miss dah pecahkan kristal ni. Miss kena bayar.
Lagipun setiap barangan kristal yang mudah pecah memang kami letak ayat
peringatan di situ. Once broken consider sold”. Aku ulang lagi ayat peringatan.
Namun dia tetap mengeras disitu. Tak adapun riak bersalah.
“Kalau I tak nak bayar?”.
Hish…ni
macam ayat mencabar!
“Miss tak boleh buat macam tu. Miss dah
pecahkan, wajib kena bayar”. Aku sudah naikkan volume suara beberapa pitch. Inikalau
bakal hilang kerja sebab bertekak dengan pelanggan nasiblah Nurin Kamila ya…Huh...hati
dah memberi peringatan pula!.
“You think I tak mampu bayar!. Setakat barang
murah macam ni I mampulah”. Wanita tepung gomak itu bercekak pinggang.
Shira yang berada di kaunter bayaran sudah
memanjangkan leher melihat aku yang sedang berdiplomasi dengan pelanggan yang
tak faham bahasa ini. Nasib baik kaunter bayaran sudah cerah dari pelanggan.
Kalau tidak, bakal tak lakulah kedai Cenderamata Heart ini sebab jurujualnya
garang-garang belaka.
“Kalau Miss dah kata macam tu bayarlah. Buat
apa nak bertekak dari tadi”. Bidas aku.
Dia sudah kecilkan matanya melihat aku.
Marahlah tu!...........
Hmm…macamlah aku takut sangat dengan aksi mata
kecilnya itu. Kemudian dia hentakkan kasut tingginya yang setebal 4 inci itu
dilantai. Macam aku heran!…boleh blah. Aku pusingkan tubuh. Langkah aku hayun
ke kaunter bayaran. Kristal yang pecah itu aku masukkan dalam kotak. Kemudian
aku tekan harganya pada mesin bayaran.
“Honey!!!…can you pay the bills?”. Tiba-tiba
dia sudah mengeluarkan arahan.
Serentak mata aku menghala pada lelaki yang
berkaca mata hitam persis model itu berjalan ke arahku. Dia keluarkan wallet
dari punggungjeans Mustang yang dipakainya. Tapi mata tak habis merenungku. Aku
faham sangat walau dia berselindung dibalik kaca mata hitam itu sebabnya dia
suakan terus wallet itu padaku.
“Sir, do you want to pay by cash or card
credit?. So, which one sir?”. Aku tanya lagi sambil wallet miliknya aku buka.
Berderet kad kredit serta wang kertas RM100 setebal 5mm itu.
Hmm…jaki betul aku kalau orang kaya bajet kacak
berlagak sombong depan aku. Heran sangat dengan kaya dan kacaknya itu. Pantang
tok nenek kalau kena sergah dengan orang kaya-kaya ini. Wajib mandi bawah jambatan
ni!. Ish…teruk betul aku melalut.
“Oh…err…cash”. Dia rampas wallet dari tangan
aku.
Apa dia fikir aku ni hadap sangat dengan wang
ringgitnya tu. Sorry eh…Mr. Luqman Hakimi!. Sempat pula aku baca namanya pada
Kad Pengenalan yang terdapat dalam wallet miliknya itu.
“Shira, take over please”. Aku keluarkan arahan
pula pada Shira yang jadi pemerhati disebelahku tadi. Aku hayun langkah masuk
bilik stor. Tak boleh berlama dikaunter bayaran tadi. Peluh dah memercik didahi
ini gara-gara tahan marah dengan mamat kaya bajet kacak dengan teman wanita
tepung gomaknya itu.
AKU menyanyi-nyanyi kecil lagu Selena Gomez
‘Love U Like A Love Song’ di dalam bilik stor ini. Masuk pula Shira dengan
senyum sengihnya.
“Kau masuk sini, siapa yang jaga kaunter?”. Aku
soal pula. Mulut sambung menyanyi sambil tangan masih mengelap barangan Kristal
itu.
“Vivian!”. Balas Shira.
Oh…anak buah Madam Chia. Desisku.
“Hah…duk tercegat apa, tolong aku lap Kristal
ni lagi bagus”. Arahku lagi.
Shira sudah duduk bersila disampingku. Tangannya
mula menari-nari di atas Kristal berbentuk hati itu dengan tuala bersih good
morning sambil muka dimaniskan melihat aku.
“Senyum-senyum ni ada maknalah tu!”. Aku buat
spekulasi pula. Shira sudah terangguk-angguk.
“Kau tahu siapa tadi wanita seksi tu?”. Shira
soal aku.
“Siapa?”
“Model dan pelakon yang tengah naik tu. Kau tak
kenal ke?”.
Aku
geleng kepala.
“Tak pernah tengok berlakon pun. Drama apa?
Cerekarama apa?’.Galak aku menyoal sebab aku ni peminat tegar drama Melayu.
“Dia pelakon filemlah…drama tak main”. Balas
Shira.
Aku cemikkan bibir. Hmm…patutlah aku tak kenal
sebab aku ni bukan kaki wayang.
“Boyfriend dia kau kenal?”. Shira soal lagi.
Apa punya soalanlah. Kalau dah pelakon tu pun
aku tak kenal inikan pula teman lelakinya. Aku jungkit bahu pula.
“Hot guy tu. Anak orang kaya. CEO Berjaya
Corporations”. Balas Shira.
Aku garu telinga yang tiba-tiba rasa gatal.
Malas betul kalau bergosip pasal kisah orang kaya. Tak ada faedah. Baik
bercerita pasal pemanasan global ke?. Nilai RM yang semakin menurun ke ada juga
faedahnya. Menambahkan ilmu pengetahuan. Aku buat tuli bila Shira sudah mulakan
enjin bergosip kisah-kisah artis di dalam dan luar negara pula. Aku hanya
terangguk-angguk macam belatuk sedangkan satu apa yang dicerita Shira tak masuk
dalam kepala otakku.
LUQMAN Hakimi tak habis tersenyum. Bebayang gadis yang melintas
didepan keretanya pagi tadi terlayar lagi dimatanya. Tak sangka gadis yang
manis senyuman itu bekerja di Kedai Cenderamata Heart di Mid Valley ini. Rasa
nak ucap terima kasih saja pada Andrea yang mendorongnya ke kedai itu. Kalau
tidak, tentu gadis yang mula mendapat tempat dihatinya itu tidak ketemu.
Kecilnya dunia dirasakan saat ini.
“Why Luke?...Kenapa
senyum macam tu?. Jangan kata salesgirl tu buat hati awak bergegar hebat”.
Andrea sudah mula sakit hati melihat Luqman Hakimi tak habis tersengih.Sejak keluar
dari Kedai Cenderamata Heart itu tadi sengihannya tidak juga pudar.
“If I say yes,you nak
buat apa?”. Luqman Hakimi galak menyoal Andrea calon menantu pilihan mama alias
Puan Sri Khalida itu.
“Nothing!”. Balasnya
ringkas.
Namun dalam hati usah
cakaplah. Sudah membahang rasa marah. Tak mungkin Luke lelaki terhangat di
Malaysia merangkap boyfriend dan kad kredit bergeraknya ada hati dengan salesgirl
kampung tu. Hish…never!.
“I rasa salesgirl tu dah
buat I jatuh hati”. Luqman Hakimi cuba membakar hati Andrea. Hendak lihat aksi
Andrea calon menantu mama cemburu atau tidak.
“I tak fikir you boleh
buat dia jatuh hati pada you”. Andrea sudah mencabar.
Sebenarnya sengaja dia berkata begitu. Tak mungkin Luqman Hakimi
ada hati pada jurujual kampung tu. Bukan citarasa Luke. Citarasa Luke, gadis
macam dia!. Pretty and hot!.
“Kalau I berjaya pikat
dia,you nak buat apa?”
“I tinggalkan you”.
Andrea menjawab yakin.
Luqman Hakimi sudah membulatkan mata. Nampaknya
pucuk dicita ulam yang dia dapat. Andrea memang tak termasuk dalam senarai
gadis yang boleh menggetarkan naluri kelakiannya. Buat stok pegang-pegang dan
pandang-pandang bolehlah. Lebih pada tu memang buat dia rasa nak muntah. Dia
tahu dia pun bukan kuat iman pun. Tapi tak adalah selama berkenalan dengan
perempuan jenis Andrea ini sampai nak dibawa ke tempat tidur. Gila apa!. Tak
pasal status Tan Sri Abdullah Hisyam terbang melayang macam kertas ditiup angin
akibat gosip buruk pasal kelakuan anaknya. Tapi buat dia musykil sampai ke hari
ini, apa yang Andrea dah guna-gunakan mamanya sampai Andrea boleh dibuat calon
menantu. Huh…sungguh tak sesuai!.
“Okey…done!”. Tanpa banyak fikir Luqman Hakimi
sudah membalas.
Suka sebenarnya dapat membebaskan diri dari
Andrea yang sudah serupa pacat menghisap darahnya. Kemana saja asyik hendak shopping.
Sudah banyak wangnya yang dilaburkan buat Andrea tanpa sebarang faedah pun.
Namun nak jaga hati mama punya pasal, segala kemahuan Andrea diturut.
“Tapi kalau you gagal pikat dia, you kena kahwin
dengan I”. Andrea menetapkan syarat pula. Ingat senang begitu saja dia nak lepaskan lubuk emas itu. Dia
bukan bodoh sangat nak menetapkan syarat yang tidak membawa untung buat
dirinya.
Luqman
Hakimi pula yang tidak keruan. Andai dia gagal, nampaknya dia akan terikat
terus dengan pacat ini seumur hidupnya. OMG!...bagaimanapun dia mesti menang
pertaruhan ini.
AKU membelek jam dipergelangan tangan yang
sudah menginjak ke angka 10 malam. Nampaknya kerja sudah beres. Tunggu masa
hendak balik saja. Selepas pastikan segalanya baik, aku dan Shira mula
melangkah keluar dari Kedai Cenderamata Heart ini. Urusan menutup kedai
terserah pada Madam Chia sendiri.
“Nanti sampai rumah, kita singgah beli burger
Abang Zek kejap. Dahlama tak makanlah. Kempunan”. Ujar Shira. Aku mengangguk tanda setuju dengan permintaan
Shira itu.
Abang Zek membuka warung burgernya di tingkat
bawah Flat Seri Cempaka tempat aku menyewa ini. Sudahlama aku menyewa semenjak zaman belajar lagi. Cuma
sekarang aku menyewa dengan Shira bersama junior UMKL. Kawan-kawan lama semua
dah balik kampung. Hanya aku saja yang masih bertahan duduk di Kuala Lumpur
ini.
Matlamat aku selagi tak dapat kerja yang
bersesuaian dengan tahap kebijaksanaan aku, Memang aku tak akan balik kampung.
Dah banyak kali Tok Wan dan Mak telefon suruh aku balik. Tapi tahu
sajalah…akukan jenis degil.
Alkisahnya kenapa aku jaki dengan orang-orang
kaya ini. Sebenarnya ada hubung kait dengan diri aku juga. Ayah aku tinggalkan
mak aku masa aku masih dalam kandungan lagi. Nanar mak aku ditinggalkan gantung
tak bertali. Rupanya mak aku adalah isteri kedua yang dikahwini secara rahsia.
Selepas isteri pertama dapat hidu yang ayah aku
nikah lain, terus dia gunakan kuasa veto minta ayah aku tinggalkan mak aku.
Rupanya ayah aku ni menantu orang kaya. Sebab tu aku benci sangat dengan orang
kaya. Apa dia orang ingat dengan kekayaan yang ada boleh buat sesuka hati pada
orang miskin macam kami. Aku pun tak pernah tahu rupa ayah aku tu macamana.
Maklumlah dia tinggalkan mak aku masa
aku masih dalam perut mak lagi.
Lepas tu mak dan tok wan aku pindah ke Kedah.
Beli tanah dan hidup ditempat baru. Ramai juga yang berkenan dengan mak aku dan
berhajat nak buat isteri. Tapi mak aku dah tawar hati. Lagipun dia tak mahu aku
berayah tiri. Nasib baik aku ada tok wan. Dia saja tempat aku bermanja. Tempat
aku menumpang kasih seorang ayah.
Kesian mak dan aku!. Sebab apa yang berlaku
pada mak aku itulah buat aku alergik dengan orang kaya. Bagi aku mereka ini
memang sengaja nak susahkan hidup orang susah yang sedia payah macam hidup aku
ini.
Terlopong mulut Shira bila aku berhikayat kisah
kenapa aku tak suka dengan orang kaya. Banyak kali aku teguk air masak dalam
gelas kerana kering tekak bercerita perihal aku pada Shira. Selama ini memang
aku tak pernah buka mulut pun bercerita kisah
hidup aku pada sesiapa pun. Entah kenapa hari ini rajin pula mulut aku
bercerita. Habis 2 biji burger Abang Zek aku baham sambil ralit bercerita pada
Shira.
“So… lepas ni jangan tanya lagi pasal apa aku
tak suka orang kaya?”. Aku beri amaran pada Shira pula. Terkebil-kebil minah
itu mendengar arahan aku.
“Kalaulah tiba-tiba ada anak orang kaya jatuh
hati dengan kau…apa kau nak buat?”.
Aku
ketawa terkekeh-kekeh mendengar soalan cepumas dari Shira. Memang cepumas
sungguh sebabnya tak akan ada anak orang kaya yang boleh jatuh hati dengan aku.
Merepek sungguh soalan.
“Kau ni mamai ke apa?. Cuba fikir logik. Tang
celah mana anak orang kaya nak jatuh hati dengan aku. Kerja pun kat kedai
cenderamata je. Jadi salesgirl. Siapa nak pandang”. Aku balas untuk soalan tak
logik dari Shira. Terkulat-kulat minah tu kena sembur dengan aku. Yalah buat
aku moody untuk soalan yang tak berapa
nak bijaksana itu.
Lepas penat bercerita dan mengisi perut aku
masuk ke dalam bilik yang aku kongsi dengan Shira. Apa lagi perut dah kenyang,
solat Isyak pun dah selesai. Tinggal nak buat tahi mata saja lagi. Esok kena
bangun macam biasa. Pastikan sebelum pukul 10 pagi dah terpacak depan Kedai
Cenderama Heart untuk memulakan tugas semula.
‘Hish…bilalah kerja yang bersesuaian dengan
kebijaksanaan aku ni nak menjelma!’. Dalam pada itu sempat pula aku bermonolog.
Kemudian aku menadah tangan membaca Surah 3
Qul, Ayatul Kursi dan doa tidur sebelum mata dipejamkan. Bukan apa, mak dah
pesan dari kecil lagi. Kalau nak hindar mimpi buruk dan gangguan syaitan wajib
amalkan apa yang aku baca tadi. INSYAALLAH, kita pasti dapat tidur dengan
berkualiti sekali.
LUQMAN Hakimi menelek wajah dan tubuhnya dicermin.
Sesekali dia membuat aksi seperti Mr. Universe nak masuk bertanding. Badannya
tegap, muka kacak, tinggi ala-ala model, duit banyak. Pendek kata tak ada yang
kurang. Kalau nak pikat minah jurujualitu pasti semudah makan kacang pistachio.
“Sekali petik mudah je dia tergolek depan kaki
aku.” Bangga dan yakin betul dia dapat memikat gadis jurujual itu.
Dengan sekali lompat dia sudah terguling di
atas tilam empuk bersaiz king itu. Tangan diletakkan di bawah kepala. Mula membayangkan strategi hendak
memikat gadis jurujual itu. Dia pun tak tahu dalam banyak-banyak gadis kenapa
dia boleh sahut cabaran Andrea hendak memikat gadis jurujual itu.
Adakah sebab dah jatuh hati dengan senyumannya
masa kat traffic light pagi tadi?. Hmm…susah betul nak faham dengan hati ini.
Luqman Hakimi memegang dadanya pula. Rasa berdebar saat ini bila setiap kali otak fikir pasal
gadis jurujual itu.
“Tapi dia salesgirl je…tengok cara macam orang
susah. Belajar pun tak tinggi mana. Hish…bukan taste aku tu!”. Dia merungut
pula.
‘Tapi ini je cara kau nak lepas dari Andrea.
Ala…lupakanlah pasal tu. Pikat je sampai dapat. Bila dah dapat, kau memang dah
menang dalam cabaran ini. Soal salesgirl tu kau fikirlah nanti. Buat apa nak
serabut perut pula’. Hah…muncul pula kata hati yang memberi idea-idea yang
bernas.
Luqman Hakimi sudah memejamkan mata. Sekarang
saat untuk tidur. Esok mulakan misi mengurat gadis jurujual itu. Dia koyak senyum
pula.
bila nak kluar novel ni?
ReplyDelete