Sunday 19 March 2017

JODOH YANG TERTANGGUH KARYA ROSE EZADORA

Bab 1

“HELO... Helo… Salam sejahtera. Apa khabar pendengar di luar sana? Okey! Diharap pendengar masih lagi setia bersama saya mendengar lagu-lagu nostalgia yang merdu dengan bait-bait cinta dalam lagu yang akan saya siarkan bagi santapan telinga pendengar yang setia pada pagi ini.” 
“Tanpa banyak bicara, saya hidangkan lagu Ingatan Manis di Bulan September untuk para pendengar yang setia. Nyanyian Datuk Syarifah Aini. Lagu yang menjadi hits pada 
hujung tahun 70-an. Layannn...” 
Tiba-tiba aku tersenyum sendiri. Jari terhenti daripada mengetuk papan kekunci yang tadinya rancak menghabiskan coretan manuskrip yang aku karang. Hilang sesaat nafasku mendengar lagu ini. Sebuah lagu yang pernah aku puja suatu masa dahulu. Oh, betapa kenangan itu tidak pernah luput dari ingatanku!
Aku dengar setiap rangkap bait lagu yang 
didendangkan dengan senyuman. Alunan iramanya bagaikan membawa aku melayang jauh 25 tahun ke belakang iaitu
pada zaman sewaktu aku masih muda. Ah, alangkah indahnya waktu itu!
Dendangan suara Dato Syarifah Aini sudah sampai penghujungnya namun senyuman aku masih di bibir. Bagaikan sudah digam senyumanku oleh gam gajah. September, bulan yang banyak kenangan padaku.
KRINCING... Krincing... Krincing... Kedengaran bunyi kasut kanak-kanak yang semakin menghampiri. Aku mengalihkan 
pandangan ke arah bunyi kasut tersebut. Aku tahu siapa yang baru sampai menjenguk aku. 
“Sandra, umi mana?” tanya aku kemudian 
mengucup kedua-dua belah pipi mongel itu. Wajah Casandra yang bulat dengan pipi gebu, bermata bulat dengan alis mata 
yang lebat, mulut yang kecil serta merah, ditambah pula dengan rambut lebat berwarna hitam yang lurus membuatkan orang sekeliling geram.Itulah wajah Casandra, cucu aku. Comel, kan?
“Assalamualaikum ibu... Ibu buat apa tu? Menulis novel lagi ke?” soal Camelia. Dia segera menghulur tangan dan terus mengucup kedua-dua belah pipiku.
“Haah. Nak buat apa lagi kalau tak depan komputer ni? Lia dari mana?” jawab aku. 
“Halim mana?” tanya aku lagi apabila tidak melihat kelibat Halim, bapa si Casandra.
“Kami dari rumah. Halim ada kat depan tu,” jawab Camelia.
Tangan Camelia menarik sebuah lagi bangku duduk dekat dengan aku. 
“Ibu masak apa hari ini?” tanya Camelia.
“Makan apa aje yang ada, Lia. Umur-umur ibu ni, selera bukannya ada sangat. Makan sekadar hilangkan lapar 
aje,” jawab aku.
“Tuuu... Lia ada bawa lauk sikit. Lia dah bubuh kat atas meja dapur...” sambung Camelia lagi. Kemudian matanya memandang ke skrin komputer.
Aku hanya diam. Memang Camelia selalu membawa bekalan lauk setiap kali mengunjungi aku. Alhamdulillah, 
lepas lauk untuk makan malam ini. 
“Apa cerita novel ibu kali ni? Yang last time tu, Lia baca dua kali. Not bad jugalah. Lain daripada yang lain.” 
Camelia memberi pendapatnya. 
“Ibu tak nak buat sequel pada kisah si Murni dan si Zamri tu ke? Atau ibu buat cerita anak dia tu pula ke... Siapa 
nama dia? Hmmm... Mila... Mimi Sharmila,” sambung Lia lagi memberi pendapat. 
Aku sengih. 
“Lia jangan puji lebih-lebih pula. Ibu menulis ni saja suka-suka, tau? Bukan apa pun.”
Camelia tersenyum mendengar kata ibunya. Tapi dia juga bangga dengan ibu yang berjaya mencipta nama dalam bidang penulisan ini walaupun tak sehebat nama besar yang lain.
Aku menjadi seorang ibu sebelum berkahwin. Malah pada usia aku yang masih muda iaitu baru mencecah 
25 tahun. Aku teringat keputusan ini ditentang hebat oleh keluargaku. Bermacam-macam tohmahan yang aku terima. Namun aku tetap menerima Camelia dalam hidup aku. Aku sayang anak ini. Tidak sia-sia aku menjaganya dari kecil. Amanat daripada seorang teman yang tidak dapat aku tolak kira-kira 23 tahun yang lalu. Anak malang yang kehilangan kedua-dua ibu bapanya dalam sekelip mata. Kata-
kata gurauan yang terakhir oleh arwah Sumayyah, ibu Camelia rupa-rupanya menjadi kenyataan. Namun aku 
bersyukur atas kehadiran Camelia yang aku panggil Lia dalam hidupku. Anak yatim piatu yang sudah tersurat untuk menggembira dan menceriakan hidup aku. 
Syukur alhamdulillah... Ya Allah.

No comments:

Post a Comment