Monday 17 July 2017

BUKAN KEMAHUAN FIKIRAN KARYA DILLA AHMAD

Bab 1 

  SUASANA ruang tamu mewah Tengku Shah Putra sudah mula dipenuhi saudara-mara serta tok 
kadi ketika mereka sedang mencari tempat masing-masing untuk turut serta menyaksikan majlis akad nikah yang akan bermula sebentar lagi. Kemudian mata  memandang ke arah anaknya, Tengku Hadif yang sudah duduk bersila di hadapan tok kadi. Bersedia untuk akad nikah. Cuma menunggu pengantin perempuan saja memunculkan diri.
Baju Melayu putih satin milik abangnya, Tengku Zarif yang tersarung di tubuh direnung. Keluhan perlahan dilepaskan. Kenapa semua ini boleh berlaku kepadanya? Kenapa dia tak membantah saja permintaan yang entah apaapa ni?
Bila mukanya diangkat, mata tua tok abah sedang memerhatikannya. Bibir tua itu kemudian mengorak senyuman segaris dan kepala dianggukkan, bagai mengatakan ‘segalanya akan baik-baik saja’. Dia menghela nafas lagi. Apa yang dia buat sekarang ini adalah sebab datuknya itu. Kalau Ayah Ku yang suruh, memang tidaklah dia nak ikut.
“Tok abah tak pernah meminta apa-apa dari cucu tok abah ni. Cuma kali ini aje, Hadif. Tok abah minta tangan Hadif untuk menikahi Nurul Ain. Tok abah tahu tentu Hadif rasa marah dan tak suka dengan cara tok abah dan Ayah Ku. Tapi cuma cara ini aje yang boleh selamatkan maruah Ain.”
Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata tok abah di telinganya sejak tadi. Dia juga masih tidak lupa bila Ayah Ku menghubunginya semalam dan menyuruhnya segera pulang. Sangkanya tok abah tidak sihat. Lalu, tanpa bertanya apa masalahnya, dia segera membeli tiket bas dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Malas nak memandu jauh. Badannya penat sangat.
Tapi sampai saja dia memasakkan kaki di hadapan pintu pagar, dia lihat tok abah masih boleh menyiram pokok dan mengarahkan Pak Kudin membersihkan halaman rumah serta menyusun pasu bunga. Pelik sungguh dia.
Bila tok abah ternampak saja dia, segera tubuh tua yang berjalan dengan menggunakan tongkat itu mendekati lalu memeluknya erat. Ya. Dia juga rindu sangat pada datuk sebelah arwah mamanya ini. Sayang tok abah kepada Tengku Hadif lebih daripada Tengku Zarif dan menantunya sendiri, Tengku Shah Putra. Anak ini memang nakal dan liar dulu. Tapi dengan tok abah, Tengku Hadif selalu mendengar katakatanya.
“Tok abah bukan nak paksa Hadif terima Ain. Tapi tok abah rasa ini saja pilihan yang kami ada. Tolong jangan salahkan Ain dalam hal ni, Hadif. Dia tak salah apa-apa pun. Tok abah harap kamu terimalah dia sebagai isteri kamu. Walaupun sepatutnya Zarif yang jadi suami dia. Tapi abang kamu tu dah melarikan diri. Tok abah cuma nak Hadif gantikan Zarif. Entah ke mana dia pergi, kami pun tak tahu. Dia cuma tinggalkan nota aje. Dia cakap dia tak ada hati nak nikah dengan Ain. Yang kami marah sangat, kenapa sebelum ni dia langsung tak membantah bila kami nak jodohkan dia dengan Ain?” tanya tok abah, seolah-olah bertanya pada diri sendiri.
Panjang lebar tok abah dan Ayah Ku menjelaskan kedudukan sebenar semalam. Tengku Hadif menghela nafas. Bukan dia tak mahu menggantikan tempat Tengku Zarif. Tapi mampukah dia? Bolehkah dia meletakkan dirinya sebagai suami Ain, adik sepupunya itu? Dia yang sudah dihalau oleh Ayah Ku sebab perangai mengalahkan ketua ahli kongsi gelap!
Empat tahun dirinya tercampak jauh dari kehidupan mewahnya. Kesenangan yang dulu dinikmati sudah jauh ditinggalkan. Tidak ada kereta mewah, rumah besar atau kad kredit yang berkeping-keping itu. Semuanya sudah ditarik Ayah Ku. Gara-gara dia hampir menikam seorang lelaki yang berketurunan Tengku juga di dalam sebuah kelab malam. Hanya disebabkan seorang perempuan? GRO pulak tu!
Wajah tua tok abah dipandang lagi. Hati tiba-tiba terasa sayu. Entah bila dia merasakan perasaan begini, dia tidak tahu. Dia bukan macam ni dulu. Dia, Tengku Hadif Shah, tak suka mengikut perintah orang. Dia lebih suka ikut kepala sendiri dan buat hal sendiri. Ke mana perginya Tengku Hadif yang berhati kering itu?
Bunyi suara-suara di belakangnya buat dia mengangkat muka sedikit dan menoleh. Mata sudah terpandangkan kelibat seorang gadis menuruni tangga bersama mak sunya atau bakal emak mentuanya sebentar lagi. Pertama kali matanya memandang wajah Ain, otaknya terus mengatakan, ‘lawa jugak budak ni bila dah besar!’
Nurul Ain, anak perempuan mak sunya. Kalau nak diikutkan mereka berdua bukanlah sepupu sangat pun. Mak sunya itu adalah anak angkat tok abah. Tok abah tak punya ramai anak. Cuma mamanya itu sajalah satu-satunya anak tok abah. Kemudian tok manya mahukan seorang anak lagi sebab dengarnya, tok ma tak boleh mengandung lagi.
Jadi, tok abah mengambil seorang anak angkat dari sebuah keluarga yang susah. Tok abah dan tok ma menjaga mak su macam anak sendiri. Apa yang mamanya ada, mak sunya pun mesti ada. Sama rata. Tak ada pilih kasih. Tok ma pun sayang sangat dengan mak su sebab mak su pandai jaga hati tok ma hinggalah tok ma sakit dan kemudian meninggal dunia.
Mata dijeling lagi ke arah Ain. Gadis itu hanya menundukkan muka sejak tadi. Nak jugak dia tahu apa yang bermain dalam fikiran gadis itu saat ini. Dulu masa kecil dia memang rapat dengan Ain. Kawan sepermainan dan selalu kena buli dengan dia dan Hadri, abang Ain. Kesian budak tu. Asyik menangis aje.
Tapi bila semakin dewasa, jarak dan waktu mula merubah kelakuan masing-masing. Dia buat hal sendiri dan mula berkawan dengan budak-budak yang sama kaya macam dia. Mentelah pula Ain sudah duduk di asrama dan Hadri pula belajar hingga ke luar negara. Dia dengan Tengku Zarif pula memang tak rapat. Kalau jumpa ada aje bahan nak cari gaduh hingga Ayah Ku pun pening kepala.
“Dah boleh mulakan?” Pertanyaan tok kadi yang duduk di hadapannya buat dia mengangkat kepala sedikit. Tengku Shah Putra dan yang lain semuanya mengangguk.
“Baiklah. Kalau semuanya dah bersedia, kita mulakanlah ya...” kata tok kadi lagi seraya tersenyum memandang Tengku Hadif. Tiada balasan daripada pihak dia. Cuma mata saja tunak memandang wajah tua tok kadi itu.
Kala akad nikah dilafazkan dengan tenang, maka terpatrilah kisah di antara Tengku Hadif dan Nurul Ain sebagai suami isteri. Dengan muka tanpa senyuman, tangan Ain diraih dan cincin perkahwinan disarungkan ke jari isterinya. Bulat saja mata itu memandangnya. Tak ada masa nak berbasa-basi dengan Ain. Upacara membatalkan air sembahyang pun tak ada. Tak ada kiss-kiss kat dahi atau apa. Dah sentuh jari Ain pun dah kira okeylah tu. Kemudian jarinya pula disarungkan dengan cincin oleh Ain. Cincin Tengku Zarif!
Walaupun dia tak suka dengan title suami ni, tapi itulah. Hendak tak hendak kena jugalah dia turutkan. Lagi pula bila Ayah Ku sudah berjanji dengan dia. Kalau dia sanggup menikahi Ain, Ayah Ku akan menyalurkan wang untuk meluaskan lagi ladang ternakannya. Kalau itu perjanjiannya, dia sedia menikahi Ain tanpa kompromi lagi.
Macam kisah drama dalam TV aje. Macam kena kahwin paksa pun ada. Hati dan perasaannya memang tak suka langsung dengan apa yang terjadi sekarang ni. Dia merasakan dirinya terikat dengan perempuan bernama Nurul Ain binti Shamsul Bahari ni.
Tanggungjawab suami pun dia tak tahu kecuali 
yang ‘satu’ itu. Tapi fikir balik, takkan dia terus nak tunaikan tanggungjawab yang ‘satu’ itu tanpa mengenali Ain? Dia pun kenalah fikir dan hormati perasaan Ain yang sudah berganti suami itu. Entah apa yang budak tu fikirkan tentang dia, dia tak ingin tahu. Dia pun tak peduli kut. Bukan dia yang hendak sangat berkahwin.
Dia bukan lelaki yang mengambil kesempatan pada orang perempuan. Lebih-lebih lagi Ain. Sepupunya yang masih mentah itu. Dengarnya baru sembilan belas tahun usianya. Dia pun dah tak ingat. Mana nak ingat. Bila dah besar masing-masing buat hal sendiri.
Wajah Ain yang menunduk itu direnung lagi. Otaknya kosong dan tak tahu apa yang hendak dikatakan tentang bakal isterinya ini. Dia rasakan Ain ni macam orang asing yang baru dikenali. Dia tak harap Ain akan menganggap dia sebagai suami sebab dia sendiri tak tahu sama ada dia boleh jadi suami yang bertanggungjawab kepada Ain atau tidak.
Dia hanya mahu hidup tenang dan menguruskan halnya sendiri tanpa sibuk nak fikirkan apa yang akan terjadi kepada dia dan Ain di kemudian hari nanti. Bukan sekarang. Sekarang banyak perkara yang perlu difikirkan.
Usai saja majlis akad nikah itu, tanpa berlengah lagi dia terus masuk ke bilik. Wajah Ayah Ku langsung dia tak pandang. Hati masih berdendam dengan lelaki itu sebab menghalau dia keluar dari rumah dulu.
Baru nak menanggalkan baju Melayu yang merimaskannya itu, pintu bilik dibuka dari luar. Dia menoleh dan mata terus memanah ke arah Ain. Mata Ain juga bulat memandangnya. Bibir yang dioles dengan gincu merah jambu itu macam takut-takut nak senyum kepadanya.
Tengku Hadif menyambung semula menanggalkan baju Melayunya. Di hadapan Ain dia membuka baju itu dengan muka bersahaja. Memang tak salah pun. Ainkan dah jadi isteri dia. Terpulanglah kepada Ain nak tengok atau tidak.
“Aku dah nak balik Kuantan sekejap lagi. Kalau kau nak ikut, siap-siaplah,” kata Tengku Hadif, mendatar saja. 
Bagai memberi kata dua kepada Ain. Yalah. Ain kan dah jadi isteri dia. Tapi dia tak akan paksa budak itu nak ikut dia atau tidak. Terpulang.
“Huh? Ain ingatkan Abang Hadif nak tidur semalam lagi kat rumah Ayah Ku ni... Errr... Baiklah. Ain kemaskan baju-baju Ain sekarang jugak!” balas Ain bila dah terpandangkan renungan tajam Tengku Hadif itu.
Setelah sekian lama tidak berjumpa, hari ini mereka dipertemukan dan disatukan. Jauh dalam sudut hati, dia bersyukur dengan apa yang terjadi dan berterima kasih kepada abang sepupunya itu kerana sudi mengambil dia sebagai isteri setelah ditinggalkan Tengku Zarif macam itu saja. Dia segan pada Tengku Hadif sebenarnya. Nak ucap terima kasih pun rasa lidahnya tidak mampu nak tuturkan.
Ain menoleh memandang abang sepupu yang sudah lama dia tak berjumpa itu. Tengku Hadif nampak lain dengan apa yang pernah dia ingat dulu. Kulit lelaki ini nampak gelap sedikit dan wajah serta rambut itu juga buat Tengku Hadif macam ahli ketua mafia aje. Nampak kasar dan ganas. Harap-harap suaminya ini bukan lelaki yang suka pukul perempuan. Ain dah pejam mata. Tak sanggup rasanya nak fikir lebih jauh tentang hala tuju hidupnya dengan Tengku Hadif nanti.
Kata Hadri, dia lebih suka kalau Tengku Hadif yang menjadi suami Ain. Bukan Tengku Zarif haprak itu. Mungkin abangnya lebih mengenali Tengku Hadif.
“Dia bukan macam apa yang kau fikirkan, Ain. Memang dia nampak kasar. Cakap pun tak pernah lembut atau bertapis. Tapi itulah Tengku Hadif,” kata abangnya tadi. Adakah ini dikatakan jodoh? Ain tidak tahu. Kalau ini yang Allah tentukan untuk dia, siapa dia nak menolaknya?
Segera dia mendekati beg pakaian yang dibawa ke rumah Ayah Ku ini. Ain merenung baju-baju itu. Mungkin cukup kalau nak dibawa ke Kuantan. Tengku Hadif pun tak memberitahu perancangannya. Nanti dia beritahu mamanya untuk membawa baju-bajunya lagi kalau mamanya datang ke Kuantan.
Gaya kelam-kabut Ain itu diperhatikan. Baju kebaya moden putih bermanik kecil-kecil dan bersulam indah yang tersarung ditubuh kecil molek Ain direnung. Bila Ain menoleh memandangnya, segera dia menyarungkan baju T putih ke tubuhnya.
“Aku tunggu kat luar,” kata Tengku Hadif setelah selesai saja menukar pakaiannya. Beg galasnya dicapai. Kaki terus menapak ke pintu.
“Ab... Abang Hadif!” panggil Ain tiba-tiba. Kepala Tengku Hadif segera menoleh.
“Ain nak mintak tolong kejap!” kata Ain, lembut dan perlahan. 
Kening Tengku Hadif berkerut sedikit. 
“Ain nak minta abang tolong tanggalkan sepit kat belakang selendang Ain ni. Boleh tak? Kalau tak boleh tak apalah...” Ain sudah menyengih. Perut memang kecut aje tiap kali bertentang mata hitam itu.
Sejak dulu lagi, dia memang takut dengan Tengku Hadif ini. Muka itu jarang nak manis dan bibir itu pun jarang nak senyum. Bukan hanya pada dia. Pada orang lain juga. Tengku Hadif ni tak macam abangnya, Tengku Zarif yang suka senyum itu. Tapi Tengku Zarif jugalah yang telah membatalkan pernikahan ini.
Buat beberapa ketika mata Tengku Hadif memandangnya tak berkelip. Mungkin terkejut dengan permintaan itu agaknya. Tapi bila tubuh tinggi dan tegap itu mula berpaling semula dan menapak ke arahnya, jantungnya pula dah mula berubah rentak.
Tengku Hadif berdiri tegak di hadapan Ain yang sudah menunduk itu. Perlahan tangannya naik dan mula menanggalkan setiap sepit rambut yang ada dirambut gadis itu. Tangan Ain cuma menadah saja menerima beberapa batang sepit yang diletakkan di atas tapak tangannya.
“Terima kasih, Abang Hadif...” ucap Ain perlahan. Mata naik memandang dagu Tengku Hadif yang berjambang halus itu. Dah kat situ aje takat ketinggiannya. Nak buat macam mana?
Tengku Hadif tidak membalas. Matanya saja menyoroti wajah yang mula berona bila ditenung lama. Dia merasakan ada getaran halus pada tangkai jantungnya. Dia menghela nafas perlahan.
“Aku tunggu kat luar. Aku bagi masa sepuluh minit untuk kau bersiap. Lambat, aku tinggalkan aje!” kata Tengku Hadif dengan muka kering.
Dia baru nak berpaling bila tangannya tiba-tiba ditangkap dari belakang. Tengku Hadif menoleh sekali lagi, merenung tepat ke wajah Ain yang segera melepaskan pegangannya itu.
“Errr... Ain... Ain nak ucapkan terima kasih pada Abang Hadif sebab dah selamatkan maruah Ain. Ain... Errr... Terima kasih, Abang Hadif...” Terasa macam nak luruh tangkai jantungnya bila mengatakannya. Bibir bawah dikemam. Otak dah tak tahu nak fikir apa lagi.
Mata lelaki itu nampak macam tersenyum saja merenungnya. Tapi wajah itu tetap kejung, ketat saja.
“Aku tunggu dekat bawah.” Itu saja yang Tengku 
Hadif katakan.
Kemudian tanpa menunggu kata-kata balas daripada Ain, dia terus keluar. Pintu bilik ditutup rapat. Tengku Hadif menghela nafas perlahan. Kaki dibawa ke tangga dan turun ke tingkat bawah.
Masih ada lagi rupa-rupanya tetamu di bahagian luar. Di ruang tamu masih ada lagi yang duduk berbual sambil menikmati juadah. Masing-masing dah pandang si pengantin yang sudah bertukar pakaian itu. Tengku Shah Putra juga menoleh kepada si anak yang sudah turun membawa beg galasnya.
“Kamu dah nak balik ke, Hadif?” tanya Tengku Shah Putra, kehairanan memandang si anak. 
“Ayak Ku ingatkan kamu nak tinggal dalam beberapa hari lagi kat sini? Tok abah pun tak sempat lagi nak 
habiskan masa dengan kamu.”
“Hadif kena balik hari ni, Ayah Ku. Pak Seman sorang-sorang yang uruskan ladang kambing tu. Lagipun, kami banyak kerja nak buat lagi ni. Hadif nak kena siapkan kandang baru sebelum kambing-kambing yang Hadif pesan tu datang minggu depan,” terang Tengku Hadif, memandang ayahnya itu.
Tengku Shah Putra hanya mampu mengangguk. Si anak dah nak balik takkan nak paksa. Lagipun dia tahu sangat dengan perangai Tengku Hadif itu. Cakap apa pun dia tak akan dengar kalau dah buat keputusan.
“Kalau kamu perlukan orang, Ayah Ku boleh carikan. Sempat ke siap kandang tu?” tanya Ayah Ku lagi. Cuba nak berbaik dengan anak bongsunya itu semula. Dia tahu hati Tengku Hadif masih marahkan dia.
“Sempat. Tinggal sikit aje lagi nak buat,” jawab 
Tengku Hadif, bersahaja. Tanpa memandang wajah Ayah Kunya. Mata hanya memandang keluar saja.
“Dah beritahu Ain?” tanya tok abah pula, mendekati cucunya itu.
“Dah, tok abah. Dia tengah bersiap tu,” balas Tengku Hadif lagi. Tok abah mengangguk dan memegang lengan kekar cucunya itu.
“Jaga diri kamu dan Ain baik-baik, Hadif. Ada masa... Kalau umur tok abah masih panjang, sampailah tok abah ke sana. Tok abah teringin sangat nak tengok ladang kambing kamu. Tapi...”
“Tok abah datanglah bila ada masa. Nanti Hadif bawa tok abah melawat ladang kambing Hadif tu,” balas Tengku Hadif, perlahan. Tubuh tua itu dipeluk kemas-kemas.
Ain kelam-kabut turun ke tingkat bawah. Tengku Hadif menoleh melihat Ain yang sudah bertukar pakaian itu. Seluar jean dan baju T. Rambut yang bersanggul tadi sudah diikat satu. Muka itu juga sudah bersih dari sebarang solekan.
 “Lina! Samsul! Anak-anak dah nak pergi ni!” panggil tok abah, memanggil Puan Maslina dan Encik Samsul yang sedang sibuk melayan para tetamu di bawah kanopi.
Terkocoh-kocoh si anak dan menantunya mendekati. Mereka dah saling berpandangan apabila melihat Ain sudah bertukar pakaiannya. Begitu juga Tengku Hadif.
“Ain dah nak pergi ni, ma. Ain ikut Abang Hadif balik Kuantan. Ada masa nanti mama datang, ya?” Ain terus memeluk mama, papa dan Abang Hadrinya.
Hadri memandang Tengku Hadif. Tubuh tegap itu 
dipeluk dan menepuk sekali belakang sepupunya itu. Lelaki ini dulu sangat rapat dengan dia. Tapi mungkin sebab salah pilih kawan, Tengku Hadif mula merenggang dari dia.
“Jaga diri baik-baik. Hadif, tolong mak su tengoktengokkan Ain ya, sayang?” pinta Puan Maslina ketika memandangnya.
Tengku Hadif mengangguk sekali saja. Muka langsung tak senyum sejak datang semalam. Entah suka atau tidak anak itu menikahi anaknya Ain, Puan Maslina tak tahu. Cuma dia berharap sangat Ain tidak disia-siakan oleh Tengku Hadif nanti. 

SUAMI TUAN PUTERI KARYA WARSINA AISYAH

Bab 3
  DISEBABKAN bonda beria-ia merayu agar dia tidak keluar malam ini, terpaksalah dia 
menurut. Ikutkan aktiviti malamnya, Eshal Rania tidak pernah duduk diam di rumah. 
Meskipun begitu, dia tidak pernah meneguk minuman beralkohol apabila menjejakkan kaki ke pusat hiburan. Tujuannya datang ke pusat hiburan untuk menari dan melepaskan tekanan. Muzik yang berdentam-dentum dengan cahaya lampu berkelip-kelip itu langsung tidak mengganggunya. Dia suka keadaan hingar-bingar itu.
Eshal Rania berdiri depan cermin. Disebabkan malam ini ada tetamu ingin bertandang ke rumah, bonda minta dia berbaju kurung. Awalnya, dia keberatan. Untuk apa berbaju kurung? Pakai seluar jean ketat dengan T-shirt sendat kan sudah cukup? Namun permintaan bonda tidak dapat ditolak. Mahu tak mahu, Eshal Rania terpaksa memakai baju kurung malam ini.
Setelah memastikan penampilannya kelihatan anggun, Eshal Rania turun ke bawah. Aroma yang menyengat hidung mancungnya membuatkan langkah di bawa ke ruang dapur. Di situ, bonda kelihatan sibuk memberi arahan kepada Nana dan Nini. 
Langkah dibawa mendekati bonda.
“Hmmm... Sedapnya bau. Bonda masak apa malam ni?” tanya Eshal Rania. Bau yang sedap membuatkan perutnya menjadi lapar dengan tiba-tiba.
Datin Paduka Syarifah Mastura berpaling. 
Penampilan puterinya itu diperhati. Cantik!
“Kenapa, bonda? Ada yang tak kena ke?” Cepat saja Eshal Rania bertanya. Cuak hatinya jika ada kekurangan pada penampilannya ini. Sedari dulu, Eshal Rania memang cukup takut andai ada kecacatan pada wajahnya. Dia mahu sentiasa kelihatan cantik jelita. 
Datin Paduka Syarifah Mastura menggeleng. 
“Tak ada yang tak kena. Rania nampak cantik sangat malam ni. Macam tuan puteri,” puji Datin Paduka Syarifah Mastura.
Mendengar pujian itu, senyuman di bibir Eshal Rania koyak dengan lebar. Kembang hatinya bila dipuji begitu.
“Tetamu dah sampai!”
Suara Datuk Paduka Tengku Azlan yang memanggil dari ruang tamu membuatkan senyuman Datin Paduka Syarifah Mastura melebar.
“Hah, tetamu dah sampai tu. Jom,” ajaknya pada si anak.
Eshal Rania menggeleng. “Bonda pergilah dulu.”
“Rania...” Meleret namanya disebut Datin Paduka Syarifah Mastura.
Eshal Rania mengeluh. Dalam keterpaksaan, dia melangkah juga. Mengekori langkah bondanya ke ruang tamu rumah.
“Mastura!”
“Nerina!”
Dua tubuh saling berpelukan. Kemudian berlaga pipi sesama mereka. Eshal Rania hanya jadi pemerhati bebas. Tiada niat mahu turut serta. 
“Lama tak jumpa. You masih cantik macam dulu,” ujar Datin Paduka Syarifah Mastura memuji kecantikan sahabat baiknya, Syarifah Nina Nerina.
“You pun apa kurangnya. Berseri-seri macam anak dara,” balas Syarifah Nerina.
Tergelak besar Datin Paduka Syarifah Mastura mendengar pujian sahabat lamanya itu. Kembang hatinya. Sejujurnya, dia amat mementingkan penjagaan luaran dan dalaman. Malah anak-anaknya, Eshal Rania dan Eliya Dania juga dididik agar mementingkan penjagaan kecantikan.
“Hmmm... Yang cantik manis ni tentu Tengku Puteri Eshal Rania, right?” Mata Syarifah Nerina lari ke wajah Eshal Rania. Cantik sungguh anak dara Datin Paduka Syarifah Mastura itu. Persis gadis Thailand.
Eshal Rania sekadar memberi senyuman nipis.
“Tentulah,” jawab Datin Paduka Syarifah Mastura. “Rania, kenalkan ini bestfriend bonda, Aunty Nerina.”
Tanpa menunggu arahan seterusnya, Eshal Rania menghulur tangan ingin bersalaman. Namun, sebaliknya terjadi. Syarifah Nerina menarik tubuh Eshal Rania dekat ke dalam pelukannya.
“Dah besar panjang Rania sekarang. Dulu sebelum 
aunty dengan family berangkat ke Jakarta, Rania kecik aje. Chubby pula tu. Geram aunty tengok. Hari-hari rasa nak cubit pipi tembam Rania.” 
Syarifah Nerina membuka cerita lama setelah pelukan dilerai. Hal itu membuatkan senyuman Eshal Rania tersungging sumbing. Peristiwa menjadi budak gemuk ketika zaman kecilnya amat menakutkan. Disebabkan tidak mahu diejek gemuk, Eshal Rania tekad menguruskan badan.
“Itu dulu Ner, waktu zaman Rania keanak-anakan. Rania yang sekarang dah cun melecun. Dah tak chubby macam dulu.” Datin Paduka Syarifah Mastura mencelah.
“I agree with you, Mas. Rania yang sekarang dah macam Miss World. Sesuai sangat kalau dipasangkan dengan Ameer. Bagai pinang dibelah dua.”
Berkerut dahi Eshal Rania mendengar bicara itu. Dipasangkan? Apa makna wanita itu dengan dipasangkan? Jangan bonda dengan wanita ini berkomplot mahu memadankan dia dengan seseorang, sudahlah. Eshal Rania masih belum bersedia mahu mendirikan rumah tangga.
“Sebut pasal Ameer, mana dia? Tak nampak pun batang hidung.” Kini perhatian Datin Paduka Syarifah Mastura beralih pula kepada anak teruna bernama Syed Ameer Rayyan. Agak lama mereka di sini, kelibat Syed Ameer Rayyan tidak kelihatan.
Belum sempat Syarifah Nerina membuka mulut, suara Syed Ameer Rayyan kedengaran.
“Assalammualaikum, Aunty Mas,” sapa lelaki itu mesra. Tangannya dihulur kepada Datin Paduka Syarifah Mastura lalu dikucup penuh hormat. Ajaran orang tua kepadanya tak pernah dilupa.
“Waalaikumussalam...” Dengan senang hati Datin 
Paduka Syarifah Mastura menjawab. Sejuk hatinya melihat tingkah Syed Ameer Rayyan yang tahu menghormati orang tua.
Kini, pandangan Syed Ameer Rayyan berkalih pula pada gadis manis berbaju kurung di hadapannya.
“You must Eshal Rania, right?” Syed Ameer Rayyan cuba meneka. Mamanya selalu menyebut nama gadis itu. Eshal Rania, anak sahabat mamanya.
Senyuman kecil terlukis di bibir Eshal Rania. Anak mata lelaki itu yang meratah wajahnya membuatkan dia jadi kurang senang. Bukan prejudis. Cuma, cara lelaki itu membuatkan Eshal Rania merasakan dia bukanlah lelaki yang baik.
“Dah, dah... Kalau nak berkenalan pun tunggulah lepas habis makan malam nanti. Perut papa dah lapar ni.” Syed Razali mencelah. Perutnya yang makin boroi itu ditepuk-tepuk menandakan betapa laparnya dia.
“Kalau macam tu, marilah kita ke meja makan. Makanan pun dah terhidang tu. Sambil makan, boleh bersembang panjang. Boleh berkenalan lebih rapat,” balas Datuk Paduka Tengku Azlan pula. Dengan senang hati dia menjemput tetamu yang bertandang ke meja makan.
Tanpa menunggu lama, kesemua mereka bergerak menuju ke meja makan. Melihat menu yang terhidang, membuatkan Syed Ameer Rayyan bersuara, “Hmmm... Sedapnya. Rania ke yang masak?”
Masakan belum menjamah hidangan yang tersedia Syed Ameer Rayyan sudah tahu makanan yang terhidang lazat. Nampak sangat lelaki itu mahu mengampu. Eshal Rania cukup tidak suka dengan lelaki berperangai begitu. 
Padanya lelaki itu berbuat baik untuk ‘membeli’ sesuatu.
“Tak! I tak tahu memasak pun.” Dengan jujur Eshal Rania mengakuinya.
Terkejut dengan pengakuan anaknya, Datin Paduka Syarifah Mastura ingin mencelah. Namun, Syed Ameer Rayyan terlebih dahulu bersuara. 
“Ya ke? Tak apalah. Tak tahu boleh belajar. Sementara waktu, nak makan kat luar pun I tak kesah.”
Eshal Rania mencebik. Semakin tidak senang dengan bicara lelaki itu yang membawa maksud tersirat. Eshal Rania dapat merasakan pasti ada rancangan di sebalik pertemuan malam ini. 

SUAMI TUAN PUTERI KARYA WARDINA AISYAH

Bab 2
  TAK tuk, tak tuk. Derap kasut tumit tinggi itu membuatkan kesemua pekerja Gemini Holdings bertempiaran lari mencari tempat duduk. Kesemuanya menikus. Buat-buat sibuk dengan kerja masingmasing.
Eshal Rania melangkah masuk. Seperti biasa, wajahnya serius tanpa senyuman. Wajah inilah yang amat digeruni pekerja-pekerja Gemini Holdings. Bagai tikus mereka mencicit kala terdengar derap kasut tumit tinggi milik Eshal Rania. Jangan sampai ada yang tertangkap. Jika tidak, buruk padahnya. Mereka tidak mahu menerima nasib seperti beberapa pekerja Gemini Holdings yang telah dipecat hanya kerana curi tulang ketika masa bekerja. Waktu bekerja adalah masa untuk bekerja. Waktu rehat, buatlah apa saja. Eshal Rania takkan ambil kesah.
Masuk ke dalam biliknya, Eshal Rania menghenyak punggung di atas kerusi kulit kebanggaannya itu. Sudah lima tahun dia bekerja di sini, memegang jawatan sebagai marketing manager. Dia bertanggungjawab memastikan segala produk yang dihasilkan syarikat mendapat sambutan yang menggalakkan. Disebabkan itu, dia serius ketika bekerja. Dia mahu hasil kerja yang tip top!
Eshal Rania buang dengus. Tiba-tiba dia teringatkan kejadian tadi. Ihraz Zahin! Lelaki itu memang suka mencari masalah dengannya. Sejak lelaki itu bekerja sebagai pemandu walid, ada saja masalah yang diciptanya. Eshal Rania kurang berkenan dengan Ihraz Zahin. Dalam ramai-ramai pekerja mereka, cuma Ihraz Zahin seorang yang suka melawan cakapnya. Ada saja arahannya menjadi tanda protes lelaki persis wajah pelakon Korea itu.
“Kak Rania... Abang Zahin tu handsome, kan? Seiras Lee Dong Wook.” 
Itulah kata-kata Eliya Dania ketika hari pertama lelaki itu bekerja sebagai pemandu walid mereka setahun lalu.
Eshal Rania menjulingkan mata ke atas. Lee Dong Wook la sangat! Hatinya mendesis. Rasa tak suka pada Ihraz Zahin membuatkan matanya tidak dapat melihat keseirasan Ihraz Zahin dengan aktor Korea itu. 
Kenapa dia tidak sukakan Ihraz Zahin? Oh... Ada sebab kenapa Eshal Rania tidak sukakan lelaki itu. Pertemuan pertama yang cukup meninggalkan kesan dalam hati. Sejak hari itu, dia sudah menanam rasa benci pada Ihraz Zahin.
“SORRY, kakak. Tumpang tanya boleh tak?”
Terkejut dengan panggilan itu, Eshal Rania berpaling. Matanya mengecil. Seorang lelaki dengan rambut tak bersikat rapi memandang tepat ke wajahnya. Selamba saja lelaki itu memanggilnya dengan panggilan ‘kakak’.
“Excuse me?” ujar Eshal Rania. Tidak dapat menerima hakikat bila lelaki itu memanggilnya ‘kakak’. Sedangkan dia baru berusia dua puluh empat tahun. Masih muda. Entah-entah dia lagi muda jika hendak dibandingkan dengan lelaki selekeh ini.
“Tumpang tanya boleh tak? Kakak...”
“What kakak? Sejak bila I jadi kakak you?!” Tak semena-mena, Eshal Rania naik angin. Laju saja dia menengking. Panas telinga bila lelaki itu asyik memanggilnya kakak. Macamlah dia ini tua sangat!
Terkejut dengan sergahan itu, lelaki itu mengurut dada. Mujur tidak melayang semangatnya.
“Errr...” Kepalanya yang tak gatal digaru.
“You dengar sini, I baru dua puluh empat tahun. Tak layak lagi dipanggil kakak, tau tak? Entah-entah, you lagi tua dari I. So... Jangan sesuka hati nak panggil I macam tu!”
Oh... Eshal Rania betul-betul naik hantu. Pantang baginya bila ada orang memanggilnya dengan panggilan kakak. Terasa seperti sudah tua bangka. Lainlah kalau yang panggil kakak itu adik-adiknya, Eliya Dania atau Elman Syam. Ini tidak! Orang luar yang langsung tak dikenali.
Ihraz Zahin mencebik. “Dua puluh empat tahun. Dah layak sangatlah kena panggil kakak. Tu pun nak marah!”
Telinga Eshal Rania sempat menangkap kata-kata 
lelaki itu.
“What did you say?” tanya Eshal Rania. Mahu lelaki itu mengulangi semula apa yang baru dikatakan.
“Tak ada.” Ihraz Zahin menggelengkan kepala.
“Look here... I tak suka orang asing yang I tak kenal suka hati panggil I kakak! Kita tak ada hubungan adikberadik. So... Jangan sesedap bahasa panggil I kakak. I tak suka! Understand!” Eshal Rania bertegas dengan katakatanya.
Ihraz Zahin mengeluh. Tujuannya datang ke sini untuk berjumpa dengan Datuk Paduka Tengku Azlan. Tak sangka pula dia terperangkap dengan perempuan cerewet ini. Hanya kerana panggilan ‘kakak’ yang ditujukan, perempuan ini mengamuk macam orang meroyan.
“Yalah... Yalah. Lain kali saya tak panggil kakak. I’m so sorry, aunty.” Ihraz Zahin sengaja mahu menambahkan lagi rasa sakit hati gadis di depannya. Panggilan ‘aunty’ sengaja ditujukan kepada gadis itu. Sambil itu, bibirnya mengulum senyum sinis tanda mengejek.
Mata Eshal Rania membulat. Panggilan kali ini benar-benar buat dia meletup. Aunty!!!
TOK-TOK!
Ketukan di muka pintu mematikan lamunan Eshal Rania. Pantas saja lamunannya hilang bertaburan. Hendak dikutip? Huh, jangan harap! Eshal Rania tidak sudi memikirkan perihal lelaki bernama Ihraz Zahin itu. Buat hatinya sakit saja.
Kepala diangkat. Depan mata terlayar wajah Sara, si personal assistant yang kecil molek. Lantas dia menjongket kening.
“Just nak remind bos about the meeting today,” ujar Sara. Sudah menjadi tugasnya sebagai PA mengingatkan ketuanya ini akan hal-hal penting.
“Okey.” Hanya itu jawapan Eshal Rania. Meski mempunyai PA yang sentiasa mengingatkan dia perkara penting, tetapi Eshal Rania tidak pernah lupa jadual waktunya. Diari hitam yang sentiasa diusung ke sana sini itu menjadi tempat rujukan.
Keningnya dijongket semula. Kelibat Sara yang masih tercegat di situ dipandang.
“Yes, Sara? Anything else?” tanyanya bila Sara masih tidak berganjak dari situ.
Sara tayang sengih. Kepalanya digeleng. Kemudian dia meminta diri untuk keluar. Takut kena sound pula. Tapi alhamdulillah, sepanjang tiga tahun menjadi PA kepada Eshal Rania, ketuanya itu belum pernah memarahinya.
Setelah Sara berlalu pergi, Eshal Rania bangun dari duduknya. Kot yang dipakai dikemaskan. Tinggal sepuluh minit sahaja lagi mesyuarat bersama beberapa orang penting dari sebuah syarikat penerbitan luar negara akan berlangsung. Eshal Rania berharap pembentangannya hari ini dapat menarik minat syarikat terkemuka itu untuk bekerjasama bersama Gemini Holdings.

SUAMI TUAN PUTERI KARYA WARDINA AISYAH

Bab 1
  TENGKU PUTERI ESHAL RANIA berdiri tegak di hadapan cermin. Penampilannya diperhati. 
Rambutnya yang panjang diikat satu bak ekor kuda. Keningnya cantik terbentuk. Hidungnya mancung terletak. Bibirnya mungil kemerahan bak buah delima. Ramai yang kata, dia mempunyai iras wajah seperti Noor Neelofa. Namun, Eshal Rania tak rasa begitu. Baginya dia lagi cantik jika hendak disamakan dengan pengacara rancangan Meletop itu.
  Sekali lagi penampilannya diteliti. Gaun separas lutut yang melekat indah ditubuhnya dibelek. Gaun pendek berwarna kuning telur itu amat sesuai dengannya yang berkulit putih kemerah-merahan. Kulit cantik yang diwarisi daripada walidnya yang mempunyai darah kacukan MelayuInggeris. Eshal Rania memang bertuah kerana dilahirkan sebagai anak Melayu yang mempunyai darah kacukan. 
 Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Eshal Rania mencapai tas tangan Louis Vuitton dan turun ke bawah sambil berlagu riang. 
“Morning!” sapa Eshal Rania sebaik terpandangkan 
wajah walid dan bondanya di meja makan.
Serentak itu, Datuk Paduka Tengku Azlan dan Datin Paduka Syarifah Mastura yang berada di meja makan berpaling. Tergeleng kepala Datuk Paduka Tengku Azlan melihat pakaian anak daranya seorang itu. Sudah persis orang tak cukup kain. Jika diikutkan, kekayaan yang dimilikinya ini lebih daripada cukup untuk Eshal Rania membeli kain menutup tubuhnya dari dibiarkan terdedah. Sudah berbuih mulutnya menegur, tetapi anaknya itu buat endah tak endah saja.
  Sebaik melabuhkan punggung di atas kerusi, Eshal Rania mencapai gelas berisi jus oren asli di atas meja. Diteguk perlahan. Tekaknya ini tidak lalu hendak minum Nescafe atau kopi. Baginya, minuman berkafein tak elok untuk kesihatan. Eshal Rania memang mementingkan kesihatan luaran dan dalaman.
  Melihat si anak, Datin Paduka Syarifah Mastura membuka bicara.
“Malam ni ada program tak?” tanyanya.
Eshal Rania mengherot bibir. Cuba berfikir apa aktiviti yang hendak dijalankan malam ini. Kebiasaannya, malamnya akan dihabiskan di pusat-pusat hiburan bersama Adara dan Zetty. Sekadar melepaskan rasa bosan terperuk di rumah.
“Not sure. Why?”
Bibir Datin Paduka Syarifah Mastura mengorak senyum. “Kalau macam tu... Malam ni balik awal. Kita ada tetamu istimewa nak datang.”
“Tengoklah macam mana. I can’t promise.” Selambanya Eshal Rania membalas.
Padanya, soal tetamu yang hendak datang ke rumah bukanlah urusannya. Mereka tetamu walid dan bonda. Sama ada dia ada atau tidak, itu tidak penting.
“Rania, please... Rania kena ada.” Datin Paduka Syarifah Mastura seakan merayu. Besar harapannya mahu Eshal Rania ada sama untuk malam ini. Tetamu yang bakal berkunjung ke rumah mereka begitu penting bagi Datin Paduka Syarifah Mastura.
“Kenapa Rania kena ada pula? Bonda, Rania ada 
atau tak, itu tak jadi masalah, kan? Sama aje...”
“Rania kena ada. Please, sayang...” Mendayu-dayu suara Datin Paduka Syarifah Mastura merayu.
“Ya la! Ya la!” Dalam degil, Eshal Rania mengalah. Tidak sampai hati melihat wajah bonda memujuk rayu.
Setelah menghabiskan jus orennya, Eshal Rania bangun dari duduk. Dia mahu segera ke pejabat. Sudah menjadi kebiasaan, Eshal Rania akan sampai awal ke pejabat meski dia seorang ketua. Dia mahu menunjukkan disiplin yang baik kepada pekerja-pekerja bawahannya.
“Eh, tak nak jamah nasi goreng tu?” tanya Datin Paduka Syarifah Mastura.
Eshal Rania menggeleng. Pagi-pagi begini perutnya menolak makanan berat. Cukuplah sekadar jus oren dan secubit sandwich mengalas perutnya dari dimasuki angin. 
Setelah bersalaman dengan walid dan bonda, dia terus bergerak ke muka pintu utama. Sewaktu mengambil kasut tumit tinggi dalam rak kasut, tiba-tiba tubuhnya dilanggar seseorang sehingga membuatkan Eshal Rania terduduk ke atas lantai.
“Opsss... Sorry!” Pinta suara itu. Terkejut melihat si 
tuan puteri terduduk jatuh kerana kecuaiannya.
Eshal Rania mengetap bibir. Wajahnya yang putih bersih sudah menjadi merah. Pagi-pagi lagi, lelaki itu sudah mencari pasal dengannya. Cuba membangkitkan amarah dalam hati.
“You ni buta ya? Tak nampak I yang sebesar gajah ni kat sini?” sergah Eshal Rania garang. Kedua-dua belah tangan sudah naik mencekak pinggang.
Ihraz Zahin kerut kening. Eshal Rania diperhati atas ke bawah. Kemudian bawah ke atas. Pada pandangannya, anak majikannya itu tidaklah sebesar gajah. Kurus keding saja orangnya. Boleh pula Eshal Rania mengaku sebesar gajah. Kelakar.
Tak semena-mena, Ihraz Zahin melepaskan tawa.
Mendengar tawa itu, mata Eshal Rania mencerlung. Sakit hati dengan tingkah Ihraz Zahin. Sejak lelaki itu bekerja di sini, hidupnya jadi tidak menentu. Belum pernah ada pekerja di rumah ini yang berani ingkar arahannya. Tapi Ihraz Zahin, lelaki itu seakan memperlekehkan kewujudannya sebagai anak tuan rumah.
“Stop it! I tak suruh you ketawa. Yang you ketawa macam orang gila ni kenapa?”
Tawa Ihraz Zahin masih bersisa. “Sorry, Cik Eshal Rania. Saya tak sengaja nak ketawakan cik. Tapi... Saya rasa cik buat lawak. Cik kata, cik sebesar gajah. Tapi saya tengok... Cik ni tak adalah besar mana pun. Kurus macam sup tulang aje.”
Inilah dia Ihraz Zahin. Cakapnya tak pernah bertapis. Main lepas sahaja. Itu yang membuatkan Eshal Rania tidak sukakan Ihraz Zahin. Asal lelaki itu buka mulut, bicaranya tidak pernah menyenangkan hati. Lebih banyak yang jahat dari baik.
Nafas Eshal Rania sudah naik turun. Bercakap dengan Ihraz Zahin membuatkan amarahnya meningkat dua kali ganda. Ihraz Zahin memang lelaki paling menyebalkan dalam dunia. Kenapalah dia perlu bertemu dengan lelaki menyebalkan ini? Tak suka!!!
“You!!!” Jari telunjuk Eshal Rania lurus menegak. Betul-betul tepat ke batang hidung Ihraz Zahin. Namun marahnya tak terluah. Sikap selamba lelaki itu semakin menyakitkan hati.
“Arghhh!” Kerana marah yang tak terluah, Eshal Rania melepaskan jeritan. Kemudian terkedek-kedek dia berlalu ke kereta, membuang tubuh masuk ke dalam Porsche Panamera kesayangannya.
Disebabkan marah, Eshal Rania memecut kereta dengan laju. Puas hati dapat bagi Ihraz Zahin makan asap. Padan muka!
Ihraz Zahin pula sudah terbatuk-batuk dek asap yang dihadiahkan Eshal Rania kepadanya.